Berita UtamaIstimewa

Hua Zong desak Muhyiddin iktiraf UEC, kemuka 15 tuntutan

PM minta organisasi Cina faham dasar kerajaan sebelum runding

BANGI, 26 Zulkaedah 1441H, Sabtu – Biarpun sudah bertukar tampuk pemerintahan, organisasi Cina seperti Hua Zong tetap berusaha mengasak kerajaan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) – yang ditentang majoriti rakyat serta bercanggah dengan Dasar Pendidikan. 

Semalam, Hua Zong telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di bangunan Parlimen Malaysia bagi mendesak kembali kerajaan untuk segera mengiktiraf sijil berkenaan. 

Hua Zong dilaporkan telah menyerahkan 15 tuntutan berkenaan ekonomi, politik dan pendidikan kepada Perdana Menteri, pada masa sama menggesa kerajaan mengiktiraf sijil UEC Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC).

Selain membincangkan pelbagai isu nasional berkaitan masyarakat Cina, pertemuan yang diketuai Tan Sri Goh Tian Chuan itu turut mendesak perkembangan terkini hasil laporan daripada Pasukan Petugas Dasar UEC (PPDUEC) yang ditubuhkan ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah. 

Memetik laporan Sin Chew Daily, Tian Chuan yang juga Pengerusi Dewan Perhimpunan Cina Sabah berkata, masyarakat Cina berharap kerajaan – yang diketuai Muhyiddin – dapat mengiktiraf UEC dan diluluskan melalui kaedah yang rasional dengan menghapuskan ekstremisme.

Dalam pertemuan itu, dia menegaskan bahawa isu perkauman dan pendidikan tidak sepatutnya dicampur-aduk dan mendakwa kononnya masih ada orang Cina yang tidak menguasai bahasa Cina dengan baik.

Dia mendakwa, Sekolah Persendirian Menengah Cina (SMPC) dan UEC berasal dari Malaysia dan mendapat pengiktirafan berterusan daripada banyak kerajaan serta kolej di seluruh dunia, yang memberi peluang kepada lepasannya melanjutkan pengajian ke luar negara. 

Katanya, perjuangan mengiktiraf UEC masih belum berakhir walaupun telah berlalu beberapa penggal kerajaan dan pernah terkandung antara salah satu manifesto PH pada PRU14 lalu. 

Menurut akhbar berbahasa Cina itu, Muhyiddin meminta Hua Zong, Dong  Zong atau mana-mana agensi Cina berkaitan memahami terlebih dahulu dasar kerajaan dan keadaan semasa negara sebelum berunding mengenai permintaan mengiktiraf UEC. 

Muhyiddin berkata, kerajaannya sudi untuk terus berbincang mengenai permintaan itu tetapi semua pihak perlu mengikut dasar kerajaan dan keadaan semasa negara dan bersama-sama mencari kesepakatan melalui rundingan. 

“10 tahun lepas (ketika BN memerintah) dari waktu saya Menteri Pendidikan … ini adalah perkara yang sangat susah sekali.

“Pendirian Dong Jiao Zong berkenaan hal ini sangat keras, menyebabkan kerajaan menghadapi kesusahan dalam menangani perkara ini,” kata Muhyiddin.

UEC adalah silibus sekolah persendirian Cina yang mana sukatan pelajarannya diambil dari Taiwan. 

Pengiktirafan UEC bercanggah dengan Dasar Pendidikan dan Akta Pendidikan 1996.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button