Berita Utama

Jangan iktiraf UEC!

Menteri silih berganti, tiada seorang pun berani bersuara bantah

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 26 Zulkaedah 1441H, Sabtu – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) menggesa kerajaan diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin, bersama 28 menteri mewakili Bumiputera bertegas dan tidak tunduk dengan desakan pihak yang mahu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) diiktiraf.  

Semalam, organisasi Cina – Huan Zong – dilaporkan bertemu Perdana Menteri menggesa kerajaan mengiktiraf sijil UEC Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC).

Memetik laporan Sin Chew Daily, Tan Sri Goh Tian Chuan yang juga Pengerusi Dewan Perhimpunan Cina Sabah berkata, masyarakat Cina berharap kerajaan – yang diketuai Muhyiddin – dapat mengiktiraf UEC dan diluluskan melalui kaedah yang rasional dengan menghapuskan ekstremisme.

Dia mendakwa, SMPC dan UEC berasal dari Malaysia dan mendapat pengiktirafan berterusan daripada banyak kerajaan serta kolej di seluruh dunia, yang memberi peluang kepada lepasannya melanjutkan pengajian ke luar negara. 

Dakwanya lagi, perjuangan mengiktiraf UEC masih belum berakhir walaupun telah berlalu beberapa penggal kerajaan dan pernah terkandung antara salah satu manifesto PH pada PRU14 lalu. 


Kesal dengan desakan itu, Setiausaha Agung PERKASA, Syed Hassan Syed Ali menegaskan, sijil UEC tidak boleh diiktiraf kerana bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Kami tidak pernah anti kaum Cina untuk masuk ke IPTA. Yang kami bantah adalah lulusan UEC kerana mereka pertamanya tidak mahu bersekolah dengan anak kaum lain. 

“Kedua, mereka menggunakan bahasa Mandarin sebagai bahasa penghantar yang mana bertentangan dengan Dasar Pendidikan Negara. 

“Ketiga, mereka belajar menggunakan silibus luar negara yang tidak selari dengan Dasar Pendidikan Negara,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau yakin penerimaan lulusan UEC bakal menafikan hak pelajar-pelajar Cina yang bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina yang mengikuti silibus Jabatan Pelajaran Malaysia untuk memasuki ke institut pengajian tinggi awam (IPTA).

Bukan itu sahaja, katanya, jika lepasan UEC diterima ke semua tempat dan bekerja di jabatan kerajaan, ia akan menafikan hak kaum Melayu dan Bumiputera untuk mendapat tempat di IPTA dan juga mendapat jawatan dalam kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC). 

“Tolong katakan ‘tidak’ sahaja kepada Dong Zong atau Hua Zong dan pimpinan kaum Cina jika mereka terus gesa UEC diterima. Seterusnya berusahalah memulakan ‘Sekolah Satu Aliran’ dengan kadar yang segera.

“Kita sedih kerana isu ini jelas melanggar Pelembagaan Negara. Menteri-menteri silih berganti. Tapi tiada seorang pun berani tegas membantah jika desakan rakan pimpinan dari kaum lain menuntut,” katanya lagi.

Bagaimanapun, dalam pertemuan semalam, Muhyiddin meminta Hua Zong, Dong  Zong atau mana-mana agensi Cina berkaitan memahami terlebih dahulu dasar kerajaan dan keadaan semasa negara sebelum berunding mengenai permintaan mengiktiraf UEC. 

Beliau berkata, kerajaannya sudi untuk terus berbincang mengenai permintaan itu tetapi semua pihak perlu mengikut dasar kerajaan dan keadaan semasa negara dan bersama-sama mencari kesepakatan melalui rundingan.

https://ismaweb.net/2020/07/18/hua-zong-desak-muhyiddin-iktiraf-uec-kemuka-15-tuntutan/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button