Berita Utama

Tiga premis haram diroboh, lima tahun operasi atas tanah kerajaan

Pemilik degil enggan kosongkan premis walaupun terima banyak notis

RAWANG, 22 Rabiulakhir 1442H, Selasa – Kedegilan pemilik mengosongkan tiga premis haram yang dibina atas tanah kerajaan membawa padah apabila mula dirobohkan pagi tadi.

Premis yang terletak berhampiran sungai di Taman Garing, Permai, dirobohkan dalam satu operasi dilakukan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Gombak bersama Majlis Perbandaran Selayang (MPS) serta dibantu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor berkata, operasi dilakukan hari ini membabitkan satu stor menyelenggara dan membaiki jentera berat, stor barang lusuh dan sebuah syarikat yang mengendalikan aktiviti kandang lembu serta reban ayam,

Shamsul berkata, premis terbabit terletak atas tanah kerajaan sejak lima tahun lalu dan mereka masih berdegil dan terus beroperasi, meskipun pelbagai notis arahan supaya mengosongkan premis ini diberikan.

“Kedudukan premis ini turut dikesan berhampiran sungai dalam 10 meter dan ia adalah antara perkara diumumkan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, bahawa semua premis berhampiran sungai akan dirobohkan.

“Pihak pejabat tanah dan MPS sudah mengeluarkan notis dan pemakluman supaya pemilik premis mengosongkan kawasan berkenaan termasuk yang terbaru minggu lalu, namun tiada sebarang tindakan untuk berpindah dibuat oleh mereka,” katanya seperti dilapor Harian Metro hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, operasi tetap berjalan lancar meskipun terdapat sedikit provokasi berlaku di kandang lembu apabila pemiliknya enggan memindahkan haiwan itu.

“Mereka juga ada memohon untuk lesen operasi sementara terhadap aktiviti perniagaan namun tiada sebarang kebenaran diberikan.

“Bagaimanapun pada masa ini kita tidak merobohkan keseluruhan struktur stor sebaliknya hanya sebahagian sahaja, dan turut memberi peluang kepada mereka selama dua hari untuk mengalihkan jentera berat bernilai tinggi dan barang-barang penting yang lain,” katanya.

Setakat ini, tiada kesan pencemaran dari kilang atau bengkel yang diroboh membabitkan enam, dan berbaki lagi dua premis untuk dirobohkan.

“Pejabat Tanah dan MPS juga akan membuat bancian semula untuk kilang atau bengkel yang dibina atas tanah kerajaan,” katanya.

Dilaporkan, beberapa unit kontena yang dipercayai menjadi kediaman pekerja stor berkenaan, stor barang lusuh serta kandang lembu dan ayam turut diroboh, manakala lebih 30 ekor lembu turut disita oleh MPS dalam operasi sama.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button