Berita Utama

Kerajaan tak boleh iktiraf UEC!

Tidak timbul isu rasis jika tak iktiraf UEC seperti dituntut kaum Cina

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 26 Zulkaedah 1441H, Sabtu – Prof Datuk Dr Teo Kok Seong secara konsisten menegaskan supaya kerajaan Malaysia yang diwakili mana-mana parti politik sekalipun tidak boleh sesekali mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu menjelaskan, Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) yang mengambil UEC berada ‘di luar’ sistem pendidikan kebangsaan kita.

“Jika ia bukan sebahagian maka kita tidak wajar mengiktirafnya. Kita hanya mengiktiraf apa-apa komponen yang ada dalam sistem pendidikan kita,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Meskipun UEC didakwa mendapat pengiktirafan berterusan daripada banyak kerajaan serta kolej di seluruh dunia, Kok Seong mengingatkan kerajaan untuk tidak termakan dengan pujukan psikologi itu.

“Bagi saya syabas dan tahniahlah, walaupun begitu kita masih tidak boleh menerimanya,” katanya.

Beliau menyarankan supaya UEC diteruskan sahaja sebagai entiti swasta memandangkan kedua-dua entiti kerajaan dan swasta bagi beliau saling melengkapi.

“Entiti swasta itu boleh menyumbang kepada pembangunan negara, saling melengkapi dengan entiti kerajaan, jadi tidak wajar didesak. Begitu jelas sekali UEC ini berada di luar sistem walaupun didakwa diiktiraf puluhan atau ratusan universiti di luar negara,” katanya.

Pada masa sama, Kok Seong menafikan berlaku penindasan terhadap kaum Cina dalam bidang pendidikan aliran Cina di negara ini.

Katanya, anak-anak Cina dibenarkan ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) selama enam tahun dan bahasa Cina adalah bahasa pengantarnya.

“Selepas itu mereka boleh mengambil bahasa Cina sebagai mata pelajaran (dan kesusasteraan Cina) sehingga Tingkatan Lima dan Enam. Kemudian mereka boleh pula mengkhusus dalam Pengajian Cina di IPTA dan IPTS.

“Anak-anak Cina juga tidak dilarang sama sekali di negara ini jika mereka mahu ke SMPC – terus belajar sepenuhnya dalam bahasa Cina – untuk mengambil UEC. Justeru, di manakah rasisme dalam pendidikan aliran Cina di negara? Tiada langsung.

“Tidak mengiktiraf UEC seperti yang dituntut kaum Cina, bukan isu rasisme yang didakwa wujud dalam bidang pendidikan di negara,” katanya.

Semalam, organisasi Cina, Hua Zong mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi mendesak kerajaan untuk mengiktiraf UEC – yang ditentang majoriti rakyat serta bercanggah dengan Dasar Pendidikan.

Pertemuan yang diketuai Tan Sri Goh Tian Chuan itu telah menyerahkan 15 tuntutan berkenaan ekonomi, politik dan pendidikan kepada Perdana Menteri, pada masa sama menggesa kerajaan mengiktiraf sijil UEC SMPC.

Memetik laporan Sin Chew Daily, Goh Tian Chuan yang juga Pengerusi Dewan Perhimpunan Cina Sabah berkata, masyarakat Cina berharap kerajaan – yang diketuai Muhyiddin – dapat mengiktiraf UEC dan diluluskan melalui kaedah yang rasional dengan menghapuskan ekstremisme.

Dia mendakwa, SMPC dan UEC berasal dari Malaysia dan mendapat pengiktirafan berterusan daripada banyak kerajaan serta kolej di seluruh dunia, yang memberi peluang kepada lepasannya melanjutkan pengajian ke luar negara.

Dakwanya lagi, perjuangan mengiktiraf UEC masih belum berakhir walaupun telah berlalu beberapa penggal kerajaan dan pernah terkandung antara salah satu manifesto PH pada PRU14 lalu.

UEC adalah silibus sekolah persendirian Cina yang mana sukatan pelajarannya diambil dari Taiwan.

Pengiktirafan UEC bercanggah dengan Dasar Pendidikan dan Akta Pendidikan 1996.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button