Berita Utama

‘Tidak undi bermakna mengundi calon berniat jahat’

Jika ingin kerajaan baik, undilah calon tak amal sogok wang

BANGI, 10 Zulkaedah 1444H, Selasa – Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan bahawa tindakan orang Melayu yang bosan dengan politik dan tidak keluar mengundi pada pilihan raya, akan membolehkan calon yang mengamalkan sogokan dipilih menjadi kerajaan.

Ini kerana katanya, jika ramai orang Melayu tidak mengundi, maka undi ini akan datang daripada pengundi yang telah disogok oleh parti serta calon yang berhasrat mencari kekayaan dengan menjadi kerajaan.

Atas sebab itu, bekas Perdana Menteri itu mendakwa, tindakan tidak mengundi adalah sama seperti mengundi calon yang bergantung kepada sogokan.

“Mereka yang bergantung kepada sogokan bukanlah calon yang bersih. Jika mereka mendiri kerajaan, mereka akan salah guna kuasa dan mencuri.

“Kita sudah lihat bagaimana calon yang tidak baik apabila menang dan mendiri kerajaan telah curi berbilion ringgit duit kerajaan, merosakkan parti dan pemerintan dan menjadi Malaysia sebagai ‘kleptokrasi’ iaitu negara yang diperintah oleh pencuri dan penjenayah,” katanya dalam tulisan di Facebook, hari ini.

Justeru, beliau berkata, jika pengundi ingin mendapatkan kerajaan yang baik, maka undilah calon yang bersih dan tidak mengamalkan sogokan wang.

“Hanya kerajaan yang didiri oleh wakil rakyat yang bersih sahaja yang akan berkhidmat untuk bangsa, negara dan agama.

“Jangan bosan dan tidak undi. Tidak undi bermakna mengundi calon yang berniat jahat yang akan merosakkan masa depan pengundi,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button