Lompat parti sukar dikekang selagi tiada integriti dalam politik
Hanya parti politik melenting, parti lawan girang terima 'katak politik'
BANGI, 26 Zulkaedah 1441H, Sabtu – Sukar untuk Malaysia mengekang amalan lompat parti, selagi integriti dan moral tidak berbudaya dalam amalan politik terutama di kalangan pemainnya, kata Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis.
Menyifatkan ia bukan amalan baharu di Malaysia, beliau berkata, isu lompat parti dilihat dari sudut subjektif dalam konteks kepartian, sempit dan selektif.
Katanya, hanya parti politik yang melenting dan mendesak wujudkan akta tertentu jika ada ahlinya yang melompat keluar ke parti lawan untuk membentuk kerajaan – sedangkan sebelah pihak lagi girang menerima penghijrahan ‘katak politik’ ke dalam parti mereka.
“Di sisi yang lain, isu itu selalu dilihat dalam perspektif yang sempit dan selektif. Yang menjadi isu apabila yang melompat adalah YB (Ahli Parlimen atau DUN).
“Jika itu berlaku, maka sudah tentulah akan bercanggah dengan kebebasan berpersatuan seperti diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan berdasarkan Perkara 10(1)(c).
“Jadi, selagi mana integriti dan moral tidak berbudaya dalam amalan berpolitik terutama dalam kalangan pemainnya, maka amat sukar untuk mengekang amalan lompat parti,” katanya dalam tulisan di Sinar Harian, hari ini.
Mujibu berkata, ada perbezaan ketara antara persoalan lompat parti dengan pembentukan majoriti dalam konteks membentuk kerajaan terutama merujuk kepada Perkara 43(2)(a).
Dalam hal itu, beliau berkata, Perlembagaan jelas menolak peranan parti politik apabila perkara itu secara spesifik menyebut bahawa Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti sebagai Perdana Menteri.
“Sebab itu tiada keperluan untuk melompat parti kalau mahu atau tidak menyokong seseorang untuk menjadi Perdana Menteri.
“Justeru, adakah tidak perlu sebarang mekanisme perundangan bagi menghalang lompat parti?
“Mungkin parti politik itu sendiri yang harus memikirkan kaedah bagi memastikan ahlinya setia dan taat kepada perjuangan,” katanya.
Justeru, beliau mempersoal sama ada perlu sebarang mekanisme perundangan bagi menghalang lompat parti? Mungkin parti politik itu sendiri yang harus memikirkan kaedah bagi memastikan ahlinya setia dan taat kepada perjuangan.