Berita Utama

MB Pahang gesa ECRL diteruskan ikut rancangan asal

Tingkatkan penghantaran kargo dari utara berbanding ke selatan

BANGI, 26 Zulkaedah 1441H, Sabtu – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail masih berharap supaya satu keputusan dapat dicapai untuk mengembalikan pelan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kepada perancangan asal.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai mengakui telah menulis surat kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin pada Mac lalu – meminta supaya mengkaji semula pelaksanaan asal ECRL yang lebih menguntungkan untuk jangka masa lebih panjang. 

Mengikut perancangan awal yang telah dibuat oleh kerajaan Malaysia di bawah Barisan Nasional (BN) sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, jajaran asal ECRL akan melalui negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang sebelum memasuki Selangor. 

Terkini, di Pahang, projek ini telah mula dilaksanakan dan sudah pun berada pada tahap 13 peratus atau 14 peratus.

Justeru, beliau berkata, terdapat beberapa faktor supaya perancangan awal seperti yang telah diunjurkan BN terdahulu diteruskan.

“Antaranya adalah untuk meningkatkan lagi penghantaran kargo dari utara berbanding ke selatan kerana di kawasan selatan sudah mempunyai pelabuhan lain seperti Pelabuhan Tanjung Pelepas di Johor. 

“Kita juga ingin melihat ECRL yang jajarannya melalui Gombak akan dilaksanakan kerana ini akan menghasilkan integrasi dengan sistem aliran Keretapi Tanah Melayu (KTM) dan LRT,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Pejabat Perdana Menteri (PMO) ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH) mengumumkan projek ECRL akan disambung semula pada kos lebih rendah susulan pemeteraian perjanjian tambahan (SA) antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC).

Menurut PMO, kos pembinaan Fasa 1 dan 2 ECRL dikurangkan kepada RM44 bilion, pengurangan sebanyak RM21.5 bilion daripada kos asalnya RM65.5 bilion.

Mengulas tindakan PH itu, Wan Rosdy berkata, apabila kerajaan tersebut mengumumkan bahawa projek ini akan dikurangkan kos dengan perubahan-perubahan yang sedikit, ia adalah satu perkara yang amat merugikan.

Ini kerana, katanya, Pahang telah pun mengambil langkah untuk menyediakan tanah bagi melengkapkan projek ini.

“Pada tahun 2019, sebanyak 1,394.4 hektar tanah yang merangkumi 232.5km jarak perjalanan yang merentasi Bentong, Temerloh, Bera, Maran dan Kuantan telah pun dalam proses untuk diambil alih,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, dengan adanya ECRL mengikut pelan asal, ia akan membuka peluang pekerjaan kepada anak-anak Pahang.

“Semestinya ledakan ekonomi akan berlaku sekali gus memberikan manfaat kepada rakyat negeri ini apabila siapnya infrastruktur ini,” katanya.

Projek ECRL bernilai RM44 bilion itu adalah sepanjang 640 kilometer dari Kota Bahru ke Pelabuhan Klang.

Ia merangkumi 14 stesen penumpang, lima stesen gabungan penumpang dan fret, selain satu stesen fret, yang mana tujuh daripadanya terletak di Pahang.

Keseluruhan projek disasarkan siap menjelang Disember 2026.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button