Berita Utama

MP ingat guna bahasa pasar, tak beradab nampak hebat?

Nak jadi jaguh sekalipun, biarlah berdebat kena pada tempatnya

BANGI, 26 Zulkaedah 1441H, Sabtu – Persidangan Dewan Rakyat yang membuka tirai Isnin lalu – tertumpu kepada usul mengosongkan jawatan Yang Dipertua dewan dan timbalannya – adalah mendukacitakan apabila kehebatan perdebatan Ahli Parlimen tidak seperti diharapkan.

Penganalisis politik, Prof Datuk Mohd Fadzil Abdul Rahman berkata, selepas beberapa lama tidak bersidang dan peralihan kuasa, ramai yang menjangkakan perdebatan akan lebih menampakkan profesionalisme dan kualiti perdebatan tinggi setaraf kedudukan Parlimen itu sendiri.

Prof Datuk Mohd Fadzil Abd Rahman.

Namun malang apabila, watak utama di kedua-dua pihak dalam Parlimen gemar dan sering menimbulkan kekecohan, sekali lagi menggamatkan suasana perdebatan dengan komen serta kata-kata kurang bijak serta cermat.

“Terlalu banyak masa diperuntukkan untuk usul penting yang sepatutnya diutamakan, tetapi dihabiskan dengan menimbulkan isu sampingan yang ternyata menyimpang dan tiada kaitan dengan usul sedang dibahaskan.

“Kepuasan dan perhatian apa sebenarnya yang cuba dicari golongan ini? Kalau ingin dilihat sebagai jaguh dan popular sekalipun, biarlah perdebatan itu kena pada tempatnya dan lebih berfokus kepada usul kritikal yang sedang dibahaskan. Apakah bahasa pasar dan tidak beradab boleh dianggap sebagai hebat?

“Sudah lupakah pada kata-kata ‘dewan yang mulia ini’ yang sering dilontarkan setiap kali dewan bersidang? Jika begitu sikap dipamerkan, apa lagi yang mulia pada Dewan Rakyat itu?,” soalnya.

Terdahulu, persidangan Dewan Rakyat kecoh apabila beberapa Ahli Parlimen pembangkang mempersoalkan usul pengosongan kerusi Yang di-Pertua Dewan Rakyat yang dibawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Masa 10 minit diberikan Timbalan Yang di-Pertua, Datuk Mohd Rashid Hasnon untuk membahaskan usul itu habis begitu sahaja berikutan pertikaian Ahli Parlimen.

Muhyiddin membawa usul Yang di-Pertua Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof mengosongkan jawatannya atas alasan terdapat pencalonan lain bagi jawatan itu.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertikaikan usul itu yang meminta perbahasan dibuat sewajarnya kerana ia soal penting dan mencadangkan supaya Mohd Rashid tidak menghalang Ahli Parlimen berbahas.

Menulis di Berita Harian, Prof Mohd Fadzil menyifatkan, tindakan wakil rakyat pada ketika itu hanya menampakkan sikap tidak profesional, malah menjatuhkan imej mereka sendiri.

“Elaun yang dibayar menggunakan wang rakyat itu tidak harus disia-siakan dengan berdebat dan berbahas terhadap isu sampingan yang ada-kalanya tiada kena-mengena langsung dengan usul pokok dibahaskan.

“Akhirnya, masa diperuntukkan berlalu begitu sahaja sedangkan usul dibahaskan sepatutnya diutamakan berakhir dengan hanya sedikit perbahasan dan dalam kes tertentu diluluskan tanpa berpeluang untuk dibahaskan secara profesional dan dengan hujah mendalam,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button