Dunia

Pelancong masih boleh lawat masjid Hagia Sophia

Kebenaran sama seperti kunjungan pelawat di Sultanahmet Camii

ISTANBUL, 26 Zulkaedah 1441H, Sabtu – Pelancong masih dibenarkan melawat Hagia Sophia meskipun tapak bersejarah itu dibuka semula sebagai masjid, kata wakil khas Presiden Turki di Iraq, Veysel Eroglu. 

Beliau berkata, pembukaan semula Hagia Sophia sebagai masjid telah memberikan kegembiraan kepada seluruh umat Islam dan rakyat Turki, namun pihaknya masih membenarkan kedatangan pelancong seperti sebelum ini. 

Katanya, kebenaran itu tertakluk sama seperti kunjungan pelancong di Sultanahmet Camii yang dikenali sebagai Masjid Biru.

Monumen ikonik Hagia Sophia pertama kali dibina sebagai gereja pada zaman Bizantium. Ia kemudian menjadi masjid setelah Sultan Mehmed II menakluki Istanbul pada tahun 1453. 

Pada 1934, pemerintah Turki telah mengubah masjid Hagia Sophia menjadi muzium.

Minggu lalu menjadi sejarah baharu buat Turki selepas mahkamah pentadbiran tertinggi negara itu mengeluarkan keputusan yang membuka jalan bagi kerajaan untuk menukar fungsi bangunan ikonik daripada muzium kepada masjid. 

Menurut mahkamah, keputusan Kabinet pada tahun 1934 yang mengakhiri fungsinya sebagai masjid dan mendefinasikannya muzium adalah tidak mematuhi undang-undang. 

Mahkamah menyatakan, Hagia Sophia secara rasmi didaftarkan sebagai masjid, selain menegaskan bahawa penggunaannya untuk sebarang tujuan lain adalah tidak sah. 

Sebelum ini, umat Islam di Turki sudah terlalu lama meminta Hagia Sophia ditukar kembali kepada masjid tetapi telah ditentang oleh anggota pembangkang sekular. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button