Berita Utama

Rancangan Israel Ilhak wilayah Palestin inisiatif apartheid moden

Kezaliman Zionis terus dibutakan dari simpati masyarakat dunia

BANGI, 26 Zulkaedah 1441H, Sabtu – Cubaan negara haram Israel mengilhak wilayah Palestin adalah inisiatif apartheid moden, kata Ketua Program Sains Kemanusiaan Universiti Malaysia Pahang (UMP), Dr Ahmad Irfan Ikmal Hisham.

Beliau berkata, tindakan itu jelas bercanggah undang-undang antarabangsa dan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Alasan yang diberikan Israel untuk terus-menerus menjarah tanah Palestin mudah, kerana pemilik tanah itu bukan berbangsa Yahudi, seperti Arab, kata Dr Ahmad Irfan.

“Oleh kerana kawasan itu kononnya diserahkan kepada bangsa Yahudi, maka mereka kononnya berhak menceroboh dan merampas pemilikan tanah bukan Yahudi.

“Malangnya kezaliman ini terus dibutakan daripada simpati masyarakat dunia. Siapa sangka dasar perkauman yang nyata masih lagi berleluasa di zaman moden ini?,” soalnya dalam artikel yang disiar BHOnline, hari ini.

Beliau menegaskan, sekiranya pelan ini dilaksanakan, maka usaha perdamaian Palestin dan Israel akan kekal menemui jalan buntu.

Malah, ribuan penduduk tempatan Palestin termasuk kanak-kanak, wanita dan warga emas yang tidak berdosa, akan menjadi pelarian, hilang tempat tinggal.

Lebih membimbangkan katanya, hubungan diplomatik dengan Jordan pula akan diperjudikan.

“Sedangkan pada masa sama, banyak lagi permasalahan dasar di rantau ini masih belum diselesaikan. 

“Isu penempatan haram Yahudi atas perkampungan Palestin sedia ada, larangan warga Palestin sama ada yang berstatus warganegara atau pelarian untuk kembali ke negara mereka.

“Serta kawalan keselamatan di kawasan strategik, menghambat proses perdamaian ke arah mewujudkan solusi dua negara berjiran,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menyuarakan bantahannya serta menyeru komuniti antarabangsa dan PBB bersama-sama menggagalkan rancangan pencerobohan oleh rejim itu.

“Malaysia akan terus bersolidariti dengan rakyat Palestin di sebalik keganasan Israel dan kami menggesa penduduk antarabangsa serta PBB untuk menolak rancangan Israel itu,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button