Berita Utama

Hua Zong sedar tak orang Melayu pernah bangkit bantah UEC?

Tuntut iktiraf UEC seperti perlekeh keperluan kuasai bahasa Melayu

BANGI, 27 Zulkaedah 1441H, Ahad – Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT) hairan apabila organisasi Cina, Hua Zong masih berdegil mahu kerajaan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) meskipun ditentang majoriti rakyat kerana bercanggah dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Ketua Medianya, Haji Rashidi Haris berkata, sama ada Hua Zong sedar atau tidak, kebangkitan semula orang Melayu selepas Barisan Nasional (BN) tumbang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu adalah kerana isu UEC.

“Ketika UMNO masih terpinga-pinga dengan kekalahan mengejut, orang Melayu bangkit menentang hingga berlakunya Himpunan Kebangkitan Ummah dengan gabungan NGO-NGO Melayu Islam di Padang Kelab Sultan Sulaiman pada dua tahun lalu kerana membantah pengiktirafan UEC.

“Ini hakikat, bukannya spekulasi tetapi anehnya kaum Cina yang diterajui oleh Hua Zong masih tetap berdegil mahu menuntut perkara yang sama yang boleh menaikkan semula kemarahan orang Melayu Islam.

“Jika benar pada pertemuan itu ada tuntutan berulang seperti mana sebelumnya, bermakna Hua Zong dengan kedegilannya langsung tidak ambil peduli sensitiviti orang Melayu sekalipun jelas ada tentangan kuat membantah,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Haji Rashidi menyifatkan, tuntutan Hua Zong juga seolah-olah memperlekehkan keperluan kaum Cina menguasai bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan.

Terdahulu, Hua Zhong dilaporkan bertemu dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi mendesak kerajaan untuk mengiktiraf UEC.

Menurut laporan Sin Chew Daily, pertemuan yang diketuai Tan Sri Goh Tian Chuan itu telah menyerahkan 15 tuntutan berkenaan ekonomi, politik dan pendidikan kepada Perdana Menteri, pada masa sama menggesa kerajaan mengiktiraf sijil UEC Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC).

Dalam pertemuan itu, dia menegaskan bahawa isu perkauman dan pendidikan tidak sepatutnya dicampur-aduk dan mendakwa kononnya masih ada orang Cina yang tidak menguasai bahasa Cina dengan baik.

Goh Tian Chuan mendakwa, SMPC dan UEC berasal dari Malaysia dan mendapat pengiktirafan berterusan daripada banyak kerajaan serta kolej di seluruh dunia, yang memberi peluang kepada lepasannya melanjutkan pengajian ke luar negara.

Laporan Sin Chew Daily itu turut mendakwa kononnya Muhyiddin berharap bahawa UEC akhirnya diiktiraf, namun akui bahawa ianya sukar dilakukan.

Bagaimanapun, Pejabat Perdana Menteri hari ini menjelaskan bahawa Muhyiddin tidak menyatakan kerajaan akan mengiktitaf sijil berkenaan, sebaliknya menegaskan UEC perlu mengikut Dasar Pendidikan Kebangsaan jika mahu dipertimbangkan penyelesaiannya pada masa hadapan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button