Berita Utama

Dahulukan calon muslim bertanding di Parlimen Alor Setar

Calon MCA tanding di kawasan Melayu ibarat sedekah untuk kalah

BANGI, 27 Zulkaedah 1441H, Ahad – Mana-mana gabungan parti yang bertanding di kerusi Parlimen Alor Setar perlu mendahulukan calon muslim berwibawa – kerana kawasan berkenaan adalah majoriti pengundi Melayu.

Naib Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin berkata, perubahan mesti dilakukan pada Pilihan Raya Umum ke-15 nanti bagi memastikan agenda agama, bangsa dan negara tercapai.

Justeru katanya, kerusi Parlimen kawasan majoriti Islam dan Melayu mestilah orang muslim yang bertanding.

Memberi contoh MCA, beliau berkata, parti berkenaan telah bertanding di 39 kerusi Parlimen termasuk 10 kawasan yang dikomposisi oleh bangsa Melayu pada PRU-14lalu.

“…dan kalah kesemuanya kecuali di Parlimen Ayer Hitam. Menghantar calon MCA di kawasan majoriti Melayu adalah sedekah untuk kalah.

“PH (Pakatan Harapan) juga seharusnya mendahulukan calon Melayu muslim di kawasan Parlimen ini,” tulisnya dalam satu kenyataan hari ini.

Alor Setar adalah antara kawasan Parlimen majoriti pengundi Melayu yang tinggi – 63.58 peratus dan angka majoriti ini akan terus meningkat.

Pada PRU14, MCA meletakkan Datuk Yoo Wei How sebagai calon bagi kerusi Parlimen Alor Setar, namun kalah dengan calon PKR, Chan Ming Kai.

Wei How hanya memperoleh 14,181 undi manakala calon PAS, Muhammad Aminur Shafiq Mohamad Abduh (17,275 undi) dan Ming Kai (32,475 undi).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button