Berita Utama

ISMA rayu PM tolak segala desakan iktiraf UEC

Muhyiddin patut tolak terus tuntutan Hua Zong, bukan kompromi

BANGI, 27 Zulkaedah 1441H, Ahad – Gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) merayu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menolak segala desakan mana-mana pihak yang mahu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) diiktiraf – kerana jelas bertentangan dengan Perlembagaan dan Akta Pendidikan Kebangsaan.

Pemimpin nombor satu negara juga diminta untuk menutup terus perbincangan ‘once and for all’, sebaliknya digesa membangunkan sistem pendidikan kebangsaan yang sedia ada.

Presiden ISMA, Haji Aminuddin Yahaya berkata, walau apa cara sekalipun UEC diubah untuk diselaraskan dengan dasar kerajaan, ianya tidak mengubah ruh asal sistem ini yang menolak sistem pendidikan kebangsaan satu ketika dahulu.

Lagipun, kita tidak perlu satu lagi sistem pendidikan kerana ianya akan hanya membuka jurang dengan lebih besar antara masyarakat, katanya.

“Secara fundamental, Malaysia tidak perlukan pendidikan vernakular, apatah lagi sistem peperiksaan swasta yang diiktiraf oleh kerajaan seperti SPM dan STPM.

“Malah, banyak kajian menunjukkan pendidikan vernakular adalah tidak baik untuk Malaysia dan perpaduan kaum. Rujuklah pakar seperti Prof Dr Datuk Teo Kok Seong bukannya Hua Zong, Dong Zong, DAP mahupun MCA,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, organisasi Cina – Hua Zhong – dilaporkan bertemu dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi mendesak kerajaan untuk mengiktiraf UEC.

Menurut laporan Sin Chew Daily, pertemuan yang diketuai Tan Sri Goh Tian Chuan itu telah menyerahkan 15 tuntutan berkenaan ekonomi, politik dan pendidikan kepada Perdana Menteri, pada masa sama menggesa kerajaan mengiktiraf sijil UEC SMPC.

Goh Tian Chuan mendakwa, SMPC dan UEC berasal dari Malaysia dan mendapat pengiktirafan berterusan daripada banyak kerajaan serta kolej di seluruh dunia, yang memberi peluang kepada lepasannya melanjutkan pengajian ke luar negara.

Haji Aminuddin menyifatkan Hua Zong cuba mempengaruhi Perdana Menteri, namun beliau memberi amaran untuk memastikan rakyat tidak akan tertipu.

Beliau berkata, Muhyiddin tidak seharusnya mendengar tuntutan Hua Zong yang akhirnya akan memecahbelahkan rakyat terutama melalui pendidikan.

“Sepatutnya Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan menolak terus desakan Hua Zong, bukannya membuat keputusan yang boleh membuka ruang berkompromi untuk pengiktirafan UEC,” katanya.

Pejabat Perdana Menteri hari ini menjelaskan bahawa Muhyiddin tidak menyatakan kerajaan akan mengiktitaf sijil berkenaan, sebaliknya menegaskan UEC perlu mengikut Dasar Pendidikan Kebangsaan jika mahu dipertimbangkan penyelesaiannya pada masa hadapan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button