Berita Utama

Jumlah subsidi diputus setelah kuota haji dimuktamad

Kerajaan beri jaminan kemudahan subsidi diteruskan tahun ini

KLANG, 8 Ramadan 1443H, Ahad – Kemudahan jumlah subsidi bagi menunaikan ibadah haji tahun ini akan diputuskan setelah jumlah kuota haji negara diketahui dan dimuktamadkan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad.

“Apabila kita sudah dapat bilangan kuota (haji) sebenar, insya-Allah kita akan duduk (berbincang) untuk muktamadkan jumlah subsidi yang diberikan,” katanya ringkas ketika diminta mengulas berhubung perkembangan subsidi haji selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Infaq Kasih Ramadan Kawasan Kapar, di sini hari ini.

Jumaat lepas, Idris memaklumkan kerajaan memberi jaminan kemudahan subsidi bagi menunaikan ibadah haji diteruskan tahun ini, bagaimanapun kadar yang akan ditanggung masih belum diputuskan.

Sementara itu, mengulas mengenai titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI), Idris berkata titah itu sudah jelas.

Sultan Sharafuddin yang juga Pengerusi MKI bertitah bahawa sebarang kenyataan berhubung keputusan yang dibuat oleh jawatankuasa tersebut adalah di bawah bidang kuasa Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah, MKI dan Majlis Raja-Raja. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button