Berita Utama

MCA kalah 3 kali berturut-turut, tak sesuai tanding kerusi Seremban

BN patut perhalusi pemilihan calon Parlimen Seremban pada PRU15

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 27 Zulkaedah 1441H, Ahad – Sudah sampai masanya Barisan Nasional (BN) menilai semula kedudukan semua kerusi yang ditanding bagi memastikan gabungan parti politik itu terus mendapat kepercayaan dan mandat daripada pengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Penganalisis politik, Dr Syed Agil Syed Alsagoff berkata, dalam konteks Parlimen Seremban, memandangkan rekod kekalahan MCA sebanyak tiga kali berturut-turut, menunjukkan parti itu dianggap belum dapat menambat hati pengundi, khususnya pengundi Cina di kawasan berkenaan.

“Justeru, elok jika MCA menyerahkan pencalonan kerusi itu kepada UMNO bagi memastikan kelestarian pengaruh BN di kawasan tersebut dapat dipelihara dan mampu bersaing dengan parti pembangkang.

“Tidak timbul isu mengapa MCA harus mempertahankan pencalonan kerusi di Seremban apatah lagi menyaksikan kekalahan tiga kali dalam PRU sebelumnya. MCA harus berfikiran lebih pragmatik dan menghargai semangat setia kawan bersama parti-parti seangkatan dalam BN.

“Ini harus dijadikan satu pengorbanan bagi memastikan Parlimen Seremban dapat dirampas kembali,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Dalam perkembangan sama, Dr Syed Agil berkata, MCA juga perlu menghormati pengaruh parti-parti seangkatannya yang boleh merampas kembali kerusi Seremban dan tidak mementingkan diri sekali gus merugikan BN.

“Pengundi Seremban sekarang lebih bijak dan matang memilih kewibawaan parti yang akan mewakili mereka menghadapi pelbagai isu yang melanda Parlimen Seremban.

“Dalam hal ini juga, BN harus melaksanakan pelan transformasi politik bagi memastikan kerelevanan parti itu dan pengaruhnya berdasarkan kepada beberapa faktor dan bukan lagi berdasarkan faktor pencalonan kerusi warisan, biarpun BN gagal menawan beberapa kerusi pada PRU yang dihadapinya,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ada beberapa faktor yang harus diperhalusi oleh BN untuk menukar pencalonan kerusi MCA kepada UMNO di Parlimen Seremban pada PRU15 nanti.

“Pertama, bilangan pertambahan masyarakat Melayu di Seremban makin bertambah berikutan pembukaan projek kediaman seperti di Seremban 2 dan kawasan berhampiran yang memberi kelebihan kepada UMNO sekiranya parti itu diberi peluang bertanding melawan parti lawan.

“Kedua, oleh kerana Seremban adalah kawasan bandar yang banyak didiami oleh warga kota dan sebahagiannya warga elit, seharusnya pencalonan UMNO untuk kerusi Parlimen di situ dapat memberikan harapan kepada warga kota untuk memperjuangkan nasib mereka,” kata beliau.

Dr Syed Agil yakin pengundi Seremban mahukan parti yang mampu memimpin dan melaksanakan harapan mereka berikutan tempias isu nasional yang kritikal seperti cabaran ekonomi, pengangguran dan isu kediaman di kawasan urban.

“Sudah tentu pengundi mahu isu itu ditangani dengan cekap dan bijaksana oleh parti politik yang mereka pilih. Selain itu, kewajaran parti politik lain dalam gabungan parti politik seangkatan diberi peluang meneruskan hasrat BN untuk memperjuangkan nasib pengundi di kawasan berkenaan.

“Kedudukan Seremban sebagai ibu negeri dan bandar strategik kerajaan negeri haruslah diberi peranan dan sokongan yang kuat oleh kerajaan.

“Sehubungan itu, BN harus mengaturkan pelan strategik yang berkesan untuk merampas kembali kerusi Parlimen tersebut sebagai satu langkah mengembalikan semula kepercayaan dan keyakinan rakyat negeri itu kepada pemerintahan BN,” katanya.

Siri drama akar umbi UMNO dan parti perkauman MCA masih belum berakhir apabila masih berebut untuk bertanding kerusi Parlimen Seremban – kawasan majoriti Melayu – pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.

Sebelum ini, Pemuda UMNO Bahagian Seremban meminta MCA memberi laluan kepada parti itu untuk bertanding di kerusi Parlimen Seremban pada PRU-15 dengan alasan MCA sudah bertanding di kerusi berkenaan selama tiga penggal, malangnya tidak pernah sekali pun menang.

Bagaimanapun Ketua MCA Negeri Sembilan, Siow Koi Voon menolak mentah-mentah cadangan itu dengan berkata, pihaknya tidak akan mempertimbang untuk memberi laluan kepada parti seangkatan lain untuk bertanding kerusi Parlimen Seremban dalam PRU akan datang.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button