Berita Utama

Rebut kerusi Seremban, UMNO jangan bagi muka pada MCA!

MCA patut fokus saja kawasan majoriti Cina, lawanlah DAP

BANGI, 27 Zulkaedah 1441H, Ahad – Siri drama akar umbi UMNO dan parti perkauman MCA masih belum berakhir apabila masih berebut untuk bertanding kerusi Parlimen Seremban – kawasan majoriti Melayu – pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.

Sebelum ini, Pemuda UMNO Bahagian Seremban meminta MCA memberi laluan kepada parti itu untuk bertanding di kerusi Parlimen Seremban pada PRU15 dengan alasan MCA sudah bertanding di kerusi berkenaan selama tiga penggal, malangnya tidak pernah sekali pun menang.

Ketuanya, Zool Amali Hussin berkata, perubahan perlu dilakukan demi kemenangan bersama yang akan memberi kejayaan kepada Barisan Nasional (BN).

Katanya, usul cadangan ini dimaklumkan kepada pucuk pimpinan negeri untuk dipertimbangkan dan akan dibawa ke pucuk pimpinan pusat dalam masa terdekat ini.

“Kita hanya minta kerusi Parlimen Seremban, manakala MCA terus kekal untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mempunyai majoriti kaum Cina.

“Ini adalah perjuangan adik-beradik, bukan individu. Kalau kita mahu mencipta kemenangan yang lebih pada PRU15, MCA perlu berlapang dada dengan kehendak akar umbi di Parlimen Seremban yang mahukan calon daripada UMNO,” katanya.

Bagaimanapun Ketua MCA Negeri Sembilan, Siow Koi Voon menolak mentah-mentah cadangan itu dengan berkata, pihaknya tidak akan mempertimbang untuk memberi laluan kepada parti seangkatan lain untuk bertanding kerusi Parlimen Seremban dalam PRU akan datang.

Beliau berkata, MCA Negeri Sembilan dan MCA Bahagian Seremban juga tidak akan bertolak ansur dalam soal itu.

Mengulas situasi berkenaan, Presiden gerakan Islam sederhana Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Aminuddin Yahaya berpandangan saranan UMNO di akar umbi untuk meletak calon di kerusi Tanjung Piai, Tanjung Malim serta Seremban memberikan signal bahawa mereka sudah mula muak bertoleransi dan berkompromi dengan MCA.

“…tetapi mungkin masih ada kesabarannya lagi. Perkara ini seperti bom jangka yang boleh meletus bila-bila masa dan pimpinan UMNO perlu ambil serius.

“Ini adalah ujian kepada UMNO untuk melihat sejauh mana kewibawaan UMNO atau hanya nampak gah pada luarannya sahaja tetapi tunduk bila berdepan dengan MCA di belakang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga menyarankan UMNO untuk tidak berlembut lagi susulan melihat bagaimana perangai MCA selepas mendapat kuasa.

“Lebih perit lagi apabila mereka tidak berperangai seperti seorang wakil rakyat yang mewakili kawasan majoriti Melayu pun selepas menang. Malah, menjadi batu loncatan sahaja untuk menjayakan agenda mereka, termasuklah sekolah vernakular, UEC dan sebagainya.

“Maka, mengapa perlu bagi muka lagi? Fokus sahajalah di kawasan majoriti Cina yang serba banyak itu, lawan DAP!,” tegasnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button