Berita Utama

Sudah tiba masa Melayu bina kekuatan hadapi tuntutan Cina

Pelbagai desakan kaum Cina bukan tiba-tiba, sudah dirancang

BANGI, 27 Zulkaedah 1441H, Ahad – Permusuhan kerana berebut kuasa dalam kalangan parti Melayu hanya memberi ruang kepada organisasi kaum tertentu membuat pelbagai tuntutan yang menguntungkan bangsa mereka, apatah lagi Cina. 

Pemerhati politik, Ustaz Sharipudin Ab Kadir berkata, kaum Cina tidak pernah berhenti dengan pelbagai tuntutan, bahkan semakin agresif apabila ada pihak yang membantah. 

Beliau berkata, orang Cina akan bersatu demi kepentingan kaum mereka, tanpa mempedulikan sebarang bantahan atau desakan daripada pihak lain. 

“Memang ini sikap dan perangai mereka. Kali ini mereka akan menyatukan kekuatan terutama parti-parti politik dan NGO milik bangsa mereka. 

“Kelemahan pemimpin bangsa Melayu dan perpaduan Melayu akan menguatkan mereka,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini. 

Atas sebab itu, Ustaz Sharipudin berkata, sudah tiba masanya bangsa Melayu membina kesatuan dan kekuatan untuk berdepan dengan pelbagai tuntutan daripada pihak mereka. 

“Kalau bangsa Melayu masih berpecah dan tidak meletakkan perjuangan maruah bangsa dan negara sebagai perjuangan utama, senario ini akan menentukan masa depan bangsa Melayu. 

“Untuk tempoh terdekat, akan ada lagi kumpulan lain pula akan membuat tuntutan yang sama,” katanya. 

Ustaz Sharipudin yang juga Ketua Perhubungan ISMA Kelantan yakin pelbagai tuntutan kaum Cina sama ada melalui parti atau NGO bukanlah dibuat secara tiba-tiba, sebaliknya melalui perancangan tersusun setelah melihat kelemahan kuasa politik orang Melayu.

“Akan ada pemimpin Melayu yang akan bersama mereka demi sokongan mereka dalam PRU. 

“Akan ada juga pemimpin Melayu menyepi membiarkan pemimpin Melayu yang berada di medan untuk berhadapan dengan kaum Cina kerana permusuhan sesama sendiri,” katanya. 

Beliau berkata demikian mengulas laporan Sin Chew Daily berhubung pertemuan pimpinan organisasi Cina – Hua Zhong – dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menyerahkan 15 tuntutan berkenaan ekonomi, politik dan pendidikan, termasuk menggesa kerajaan mengiktiraf sijil UEC SMPC.

Pertemuan yang diketuai Tan Sri Goh Tian Chuan itu, menegaskan bahawa isu perkauman dan pendidikan tidak sepatutnya dicampur-aduk dan mendakwa kononnya masih ada orang Cina yang tidak menguasai bahasa Cina dengan baik.

Goh Tian Chuan mendakwa, SMPC dan UEC berasal dari Malaysia dan mendapat pengiktirafan berterusan daripada banyak kerajaan serta kolej di seluruh dunia, yang memberi peluang kepada lepasannya melanjutkan pengajian ke luar negara.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close