Berita Utama

Tak cukupkah bolot ekonomi, kini tuntut hak sama rata pendidikan?

PM kena bertegas tolak UEC, jika tidak tiada beza antara PN-PH-BN

BANGI, 27 Zulkaedah 1441H, Ahad – Tidak cukup lagikah kekayaan dan penguasaan ekonomi yang dibolot oleh orang Cina di negara ini, sehingga menuntut pula kesamarataan dalam bidang budaya, pendidikan dan sosial.  

Ahli Jawatankuasa Pusat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ir Muhammad Lukman Al Hakim Muhammad berkata, desakan-desakan tidak berasas daripada pihak organisasi Cina menyerlahkan sisi buruk mereka yang keras kepala, rasis dan tidak menghayati Perlembagaan negara. 

Beliau berkata, tidak kira Dong Zong atau Hua Zhong, dua organisasi terbabit tetap senada dengan agenda perjuangan yang sama. 

“Hakikatnya, bangsa lain boleh hidup aman damai dalam keadaan harmoni dengan mengamalkan adat budaya, seni, bahasa dan amalan agama masing-masing seperti yang dilindungi Perlembagaan.

“Tapi meminta lebih dan memperjuangkan kesamarataan dengan bangsa Melayu sebagai pemilik asal, bangsa tonggak dan rakyat majoriti negara yang dilindungi dalam Perlembagaan, adalah suatu tindakan sumbang yang amat tidak bertanggungjawab,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini. 

Sebelum ini, Hua Zong mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi mendesak kerajaan untuk mengiktiraf UEC – yang ditentang majoriti rakyat serta bercanggah dengan Dasar Pendidikan.

Pertemuan yang diketuai Tan Sri Goh Tian Chuan itu telah menyerahkan 15 tuntutan berkenaan ekonomi, politik dan pendidikan kepada Perdana Menteri, pada masa sama menggesa kerajaan mengiktiraf sijil UEC SMPC.

Muhammad Lukman berkata, tidak munasabah untuk organisasi Cina meminta kerajaan memberikan peruntukan jutaan ringgit untuk sekolah persendirian, muzium budaya dan institusi lain yang hanya memanfaatkan bangsa Cina. 

“Peruntukan ini lebih strategik dan bermanfaat untuk digunakan bagi memperkasakan integrasi nasional, sebagai contoh untuk mengajar kelas tuisyen bagi anak-anak Cina Malaysia yang tidak tahu langsung atau tidak fasih berbahasa Melayu,” katanya. 

Justeru, beliau berharap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaannya bersikap tegas dan tidak mudah memenuhi tuntutan itu, semata-mata mahukan sokongan politik. 

“Jika tidak, tiada beza PN (Perikatan Nasional) dengan PH (Pakatan Harapan) dan BN (Barisan Nasional) sebelum ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close