Berita Utama

UEC perlu ikut Dasar Pendidikan Kebangsaan: Muhyiddin

PM tak sebut akan iktiraf UEC ketika pertemuan dengan Hua Zong

BANGI, 27 Zulkaedah 1441H, Ahad – Pejabat Perdana Menteri (PMO) menegaskan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak menyatakan akan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), dalam pertemuannya bersama pimpinan Hua Zong pada 16 Julai lalu. 

Sebaliknya, Perdana Menteri menegaskan UEC perlu mengikut Dasar Pendidikan Kebangsaan sekiranya mahu dipertimbangkan penyelesaiannya oleh kerajaan pada masa hadapan, kata pejabat itu.

“YAB Perdana Menteri menyebut bahawa UEC telah mendapat pengiktirafan sebahagian (partial recognition) apabila kerajaan pada masa lalu telah menerima lepasan UEC untuk mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) dalam bidang pengkhususan Bahasa Cina di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).

“Kerajaan pada tahun 2012 telah menerima lepasan UEC untuk mengikuti program PISMP dalam bidang Bahasa Cina dengan syarat mereka lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan memperolehi sekurang-kurangnya gred kepujian dalam Bahasa Melayu,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Kenyataan itu dikeluarkan susulan terdapat dakwaan mengatakan Perdana Menteri secara peribadi akan mengiktiraf UEC. 

Terdahulu, Sin Chew Daily melaporkan pertemuan Hua Zhong dengan Muhyiddin bagi mendesak kerajaan mengiktiraf UEC.

Pertemuan yang diketuai Tan Sri Goh Tian Chuan itu telah menyerahkan 15 tuntutan berkenaan ekonomi, politik dan pendidikan kepada Perdana Menteri, pada masa sama menggesa kerajaan mengiktiraf sijil UEC SMPC.

Laporan Sin Chew Daily turut mendakwa kononnya Muhyiddin berharap UEC akhirnya diiktiraf, namun akui bahawa ianya sukar dilakukan. 

UEC adalah silibus sekolah persendirian Cina yang mana sukatan pelajarannya diambil dari Taiwan. 

Pengiktirafan UEC bercanggah dengan Dasar Pendidikan dan Akta Pendidikan 1996.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close