Kolumnis

Lantikan PH di universiti mesti diputuskan demi kelangsungan PN

Mereka gunting dalam lipatan tak boleh diharapkan, dipercayai

SAYA memohon dan merayu kepada PM supaya segera keluarkan arahan memutuskan lantikan PH yang masih menguasai universiti, dengan menggantikan yang lebih layak.

Jika terus dibiarkan lantikan PH ini bermaharajalela, banyak lagi kerosakan akan berlaku yang akan menyebabkan sokongan ke atas PM dan PN terjejas. Tidak mustahil prestasi PN turut terjejas dalam PRU15 akan datang.

Ini kerana mereka ini sangat licik. Pandai menyusup dan pandai menyamar. Bertukar-tukar warna.

Ketika berkuasa, malah hingga ke hari ini, mereka masih membersihkan segala jawatan penting universiti dengan memberikan laluan kepada geng mereka lantikan PH.

Mereka yang tidak sefahaman, mereka akan dibekukan atau dipetisejukkan. Ini bagi memudahkan agenda mereka berjalan dengan lancar, sehinggalah mereka dapat menguasai kesemuanya.

Justeru, jika agenda ini tidak putuskan segera, PN akan menerima padahnya. Pengaruh mereka terhadap pelajar mula menjadi barah sejak lantikan PH ini dibuat.

Lagi pula, lantikan PH ini jenis muka tak malu. Mereka mahu terus kekal dalam jawatan walau apapun berlaku. Mereka tidak mahu melepaskan jawatan, bila kerajaan bertukar tangan.

Tidak dapat dilupakan, apabila PH menang PRU14, habis semua lantikan BN terdahulu, ditukar dan diputuskan. Lantikan BN tidak banyak cakap, terima sahaja. Tetapi bila orang PH ditukar atau dihentikan heboh satu dunia.

Ini bukan soal balas dendam. Tetapi norma baharu, kerajaan berubah, keadaan perlu berubah.

Masih tidak dapat dilupakan, ketika PH mula mendapat kuasa, mereka kempen habis-habisan agar lantikan BN meletakkan jawatan. Misalnya, kempen memaksa ahli-ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) lantikan BN meletak jawatan. https://www.bharian.com.my/berita/politik/2018/05/429276/ahli-spr-didesak-letak-jawatan.

Akibatnya, ini membawa kepada peletakan jawatan ahli-ahli SPR secara beramai-ramai bermula daripada pengerusi hinggalah ahli-ahli yang lain. Begitu bermaruahnya ahli-ahli SPR lantikan BN.

Di peringkat institusi pengajian tinggi pula, ketika PH memerintah, semua Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor UA, terutama yang menjaga hal ehwal pelajar, segera ditukar. Ada yang dipaksa untuk melepaskan jawatan, meskipun kontrak belum tamat.

Tiba-tiba apabila kerajaan berubah, pemimpin-pemimpin lantikan PH ini, misalnya di universiti dan SPR, buat tak tahu sahaja. Macam tidak ada apa-apa berlaku. Mahu kekal terus dalam jawatan.

Ada yang mengambil kesempatan dengan melantik dirinya sendiri untuk dapat gred jawatan yang lebih tinggi dan seterusnya memperkukuhkan lagi kedudukannya.

Malah, lebih hina lagi, sanggup berjumpa dengan orang-orang istana dan pemimpin-pemimpin PN, untuk mereka terus kekal dalam jawatan.

Pada masa sama, mereka menjadi gunting dalam lipatan untuk merosakkan PN.

Justeru, saya mohon kepada PM, segera lakukan lantikan baharu, seperti mana yang dilakukan terhadap GLC-GLC. Termasuk yang terkini, lantikan baharu institusi dakwah, YADIM, yang penuh dengan orang politik PH sebelum ini.

Justeru, sudah tiba masanya lantikan PH di peringkat pengajian tinggi segera ditamatkan. Gantikanlah mereka yang lebih layak, dan benar-benar profesional.

Lantikan PH terdahulu, tidak boleh diharapkan dan dipercayai lagi. Label digunakan bagi mengaburi mata.

Saya telah dianiayai beberapa kali. Diberikan amaran, dimalukan dan dihina.

Mentang-mentang ada kuasa, bukan main lagi lagaknya. Jika berani, benar-benar anak jantan, mari berdepan, berforum di khalayak, untuk mencari kebenaran. Jangan sewenang-wenang menggunakan kuasa.

Kenapa lantikan PH mesti diputuskan segera?

Pertama, mereka membawa wabak. Wabak ini mudah meresap dan menjangkiti orang lain jika tidak ditangani segera. Mereka gunakan jawatan dan kuasa yang ada, untuk melebarkan pengaruhnya. Mereka akan pastikan lantikan-lantikan dalam kalangan orang dia sahaja dan sympathizer.

Kedua, ketika mereka dilantik PH menguasai sesebuah institusi, mereka hentam kaw kaw PN, BN, UMNO dan PAS. Semua orang yang akan kaitan dengan PN akan disejukbekukan tanpa belas kasihan.

Ketiga, modus operandi kumpulan ini sangat bahaya, “masuk ke dalam dan pecahkan”. Seterusnya, ‘jika tidak boleh menguasai dari dalam, maka keluarkan ahlinya beramai-ramai. Dan akhirnya, jika tak dapat kuasai, hancurkan”. Inilah yang rata-rata telah berlaku.

Bacalah sejarah. Sejarah tidak pernah menipu.

Apakah kita mahu tunggu hancur, baharu mahu bertindak?

Justeru, saya memohon dan merayu kepada PM dan pemimpin tertinggi PN, mahu tunggu apa lagi?

Apakah ini tidak berhikmah? Bandingkan apa yang mereka buat sebelum ini. Zalim atau tidak? Sudah tentu jawapannya, zalim.

Kita bukan mahu mereka dizalimi dan hentikan, saya tidak fikir PM dan PN sezalim itu seperti mana mereka lakukan sebelum ini. Tetapi, kita hanya mahu pulangkan mereka ke tempat asal. Tamatkan rantaian ini demi untuk kebaikan PN.

Langkah segera, pendekkan segera kontrak mereka. Balik ke tempat asal mereka.

Kembalilah kepada yang sebenar. Jangan berpura-pura, seperti kura-kura dalam perahu.

Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah

Penafian: Kenyataan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close