Berita UtamaDunia

4,000 hilang pekerjaan di Gaza akibat COVID-19

Kesatuan sekerja rayu beri kerja sementara kepada penganggur

GAZA, 28 Zulkaedah 1441H, Isnin – Kira-kira 4,000 pekerja di sini kehilangan pekerjaan sejak tercetusnya wabak coronavirus, dedah Ketua Pengarah Persekutuan Kesatuan Sekerja, Sami Al-Amassi.

Dalam siaran akhbar semalam, beliau berkata, sejak COVID-19 melanda sekurang-kurangnya 50 kilang ditutup dan susulan langkah kawalan, 4,000 pekerja hilang pekerjaan.

“Pelancongan, restoran dan hotel paling teruk terjejas,” katanya sambil menambah sektor berkenaan menggaji lebih daripada 5,000 pekerja.

Antara 12,000 hingga 15,000 pemandu teksi juga mengalami penurunan jumlah tambang kerana penangguhan sekolah, universiti dan banyak sektor penting yang lain.

Sehubungan itu, Al-Amassi merayu Kementerian Sumber Manusia dan negara penderma membantu memberi pekerjaan sementara kepada mereka yang menganggur di Gaza.

Pada Oktober tahun lalu – sebelum penyebaran coronavirus – Kementerian Pembangunan Sosial di Semenanjung Gaza berkata, kadar kemiskinan dan pengangguran di wilayah itu telah mencapai hampir 75 peratus. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button