5 daerah di Selangor dilanda banjir kilat
Hulu Langat paling teruk dengan 22 lokasi ditenggelami air
BANGI, 28 Zulkaedah 1441H, Isnin – Kejadian banjir kilat di beberapa daerah di Selangor dilaporkan berlaku setelah hujan lebat pada Sabtu malam hingga menenggelamkan beberapa kawasan.
Smart Selangor Command Center (SSCC) mengatakan, daerah yang terjejas adalah Hulu Langat, Sepang, Hulu Selangor, Gombak dan Klang.
Akhbar The Star melaporkan, sehingga pagi semalam, daerah Hulu Langat dilanda paling teruk dengan 22 lokasi ditenggelami air.
Seramai 128 mangsa dari 31 keluarga di Hulu Langat dipindahkan ke tiga pusat pemindahan sementara.
Sepang adalah yang kedua paling teruk dilanda banjir dengan 12 lokasi dan 137 mangsa dari 31 keluarga ditempatkan di tiga pusat pemindahan di Dengkil.
Sementara itu, mangsa banjir yang ditemui Bernama, Noraini Abdul Latiff, 40, berkata, dia dan keluarganya dibangunkan oleh jiran sekitar jam 2 pagi yang memberitahu mereka bahawa paras air di kawasan mereka meningkat.
“Pada mulanya, air mulai naik sedikit di kawasan dapur. Menjelang jam 4 pagi, air naik ke paras pinggang.
“Kami berjaya menyelamatkan barang elektrik sebelum bomba datang untuk membawa saya dan tiga anak saya keluar dari rumah,” kata Noraini, yang tinggal di Taman Timah.
Dia mengatakan khemah di pusat pemindahan diatur dengan baik dan berada dalam jarak yang selamat antara satu sama lain dalam usaha untuk mencegah penyebaran COVID-19.
Manakala, Mohd Najib Mat Supi, 58, pula berkata hujan lebat pada malam sebelumnya menyebabkan air dari sungai melimpah naik.
“Air naik terlalu cepat. Saya terpaksa mengalirkan air sambil menunggu jentera bomba tiba,” katanya.
Bernama juga melaporkan bahawa keadaan banjir di Johor telah pulih sepenuhnya setelah semua mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara di SK Parit Keroma Darat, Muar, dibenarkan pulang ke rumah mereka pagi semalam.
Pengerusi jawatankuasa kesihatan dan alam sekitar negeri, R. Vidyananthan, dalam satu kenyataan berkwlata, lima orang yang dipindahkan dari dua keluarga dibenarkan pulang setelah air banjir surut di Parit Keroma Darat.
“Oleh kerana cuaca yang baik hari ini, semua yang berada di pusat pemindahan telah dibenarkan pulang,” katanya.