Berita UtamaDunia

Jemaah haji Arab Saudi mula kuarantin 7 hari

Denda hingga 50,000 riyal jika bawa jemaah haram

RIYADH, 28 Zulkaedah 1441H, Isnin – Jemaah yang bakal menunaikan ibadah haji tahun ini sudah mula melakukan pengasingan diri atau kuarantin di rumah masing-masing, kata Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

Menurut protokol kesihatan yang dipersetujui untuk ibadah haji, jemaah yang memenuhi syarat kesihatan memulakan prosedur pengasingan diri di rumah selama tujuh hari.

Arab Saudi pada 22 Jun mengumumkan, ia akan mengizinkan sejumlah jemaah menunaikan ibadah haji tahun ini ekoran pandemik COVID-19, di mana mereka adalah penduduk yang tinggal di negara itu.

Pasukan keselamatan haji mengatakan pada hari Ahad bahawa, tempat-tempat suci akan diselia oleh pengawal keselamatan secara menyeluruh untuk mencegah orang ramai masuk secara tanpa izin, menurut agensi berita negeri SPA.

Pegawai keselamatan juga mengulangi pendirian, sesiapa yang tidak mematuhi arahan akan dikenakan denda 10,000 riyal (RM11,373.35), yang mana nilainya bakal dilipatgandakan jika kesalahan berulang.

Bagi yang membawa jemaah secara haram dan belum mendapat izin untuk menunaikan haji tahun ini, para pegawai keselamatan menegaskan, terdapat beberapa tahap hukuman boleh dikenakan.

Untuk kesalahan pertama, dipenjara 15 hari dan denda hingga 10,000 riyal (RM11,373.35) bagi setiap jemaah yang dibawa.  

Sekiranya pesalah adalah ekspatriat, dia akan dibuang negeri setelah selesai menjalani hukuman dan dilarang memasuki negara itu lagi. Kenderaannya juga akan disita.

Sekiranya mengulangi kesalahan sama untuk kali kedua, pesalah akan dipenjara selama dua bulan dan didenda tidak lebih daripada 25,000 riyal (RM28,433.37) untuk setiap jemaah tidak sah yang dibawa.  

Pengulangan kesalahan untuk kali ketiga akan dipenjara selama tempoh tidak lebih dari enam bulan dan didenda tidak lebih dari 50,000 riyal (RM56,866.75) untuk setiap jemaah. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button