Melampau! Jangan kompromi pelaku conteng mural
Tak boleh terima potret Agong sebagai ketua negara jadi bahan hina
Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, 28 Zulkaedah 1441H, Isnin – Melampau! Pihak berkuasa digesa untuk tidak berkompromi dengan pelaku vandalisme terhadap mural pemimpin negara di dinding bangunan kedai Seksyen U12, Shah Alam.
Mengutuk keras perbuatan itu, Ahli Jawatankuasa Pusat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Omar Kassim berkata, pelaku bukan hanya merosakkan hasil mural, bahkan menconteng kata-kata kesat pada lukisan potret Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Beliau juga kesal apabila potret beberapa lagi pemimpin negara, termasuk Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham turut diconteng.
“Pihak keselamatan perlu bertindak tegas. Jangan biarkan perkara sebegini berlalu tanpa apa-apa. Pihak yang melakukan ini mesti dihukum dengan berat.
“Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara menjadi bahan hinaan suatu yang tidak boleh diterima. Ini bukan pertama kali,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.
Terdahulu, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) terpaksa mengambil tindakan memadam keseluruhan lukisan tersebut ekoran tindakan vandalisme pada mural itu.
Perbuatan itu menyebabkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah murka, selain Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar turut berduka cita.
Lukisan oleh ‘Miey Ali’ atau Muhammad Suhaimi Ali, 27 itu sebelum ini menjadi tular sehingga menarik perhatian Agong serta Dr Noor Hisham untuk turun padang menyaksikan sendiri mural tersebut.