Berita Utama

PEMBELA ikrar berjuang isu kedaulatan negara

Jadi rakan strategik KDN demi keselamatan negara

BANGI, 28 Zulkaedah 1441H, Isnin – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) berikrar akan terus bersama rakyat dalam memperjuangkan isu kedaulatan negara bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan negara terus terjamin.

Pengerusinya, Haji Aminuddin Yahaya berkata, selaku NGO-NGO Islam, pihaknya akan terus bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan sebagai rakan strategik dalam isu-isu yang membabitkan kedaulatan negara.

“Baru-baru ini, saya dan rakan-rakan telah berjumpa dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dengan membawa isu-isu yang menggusarkan rakyat, termasuk isu Mykad palsu dan warga asing.

“Alhamdulillah, hari ini Menteri Dalam Negeri sendiri mengeluarkan kenyataan bahawa warga asing yang memiliki Mykad palsu akan dikenakan tindakan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

“Tahniah dan syabas juga kepada rakyat sekalian kerana turut sama-sama mencetuskan gelombang kesedaran mengenai isu-isu sebegini,” katanya dalam satu kenyataan.

Media melaporkan bahawa warga asing yang ditahan memiliki dokumen pengenalan diri, MyKad palsu, akan dikenakan tindakan mengikut SOSMA.

Tindakan itu diambil selepas kerajaan memastikan Akta Imigresen, turut dimasukkan di bawah jadual SOSMA.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, tindakan itu boleh dilakukan dengan menggunakan Jadual Pertama dalam SOSMA yang memberi kuasa kepada menteri.

Katanya, apabila Akta Imigresen itu dimasukkan dalam SOSMA kelak, tindakan mengikut peruntukan undang-undang itu boleh dikenakan terhadap mana-mana migran yang memiliki dokumen pengenalan diri Malaysia yang palsu.

Ketika ini, mana-mana warga asing yang ditangkap memiliki MyKad hanya dikenakan tindakan pengusiran.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button