Pemuda UMNO Seremban nafi terima ‘duit belanja’ MCA
UMNO bertegas mahukan kerusi Parlimen Seremban dalam PRU-15 nanti
Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar
BANGI, 28 Zulkaedah 1441H, Isnin – Ketua Pemuda UMNO Bahagian Seremban, Zool Amali Hussin menyangkal dakwaan akhbar berbahasa Cina yang kononnya MCA memberi beliau ‘duit belanja’ bagi meredakan kemelut perebutan kerusi Parlimen Seremban.
Zool Amali bagaimanapun mengakui Pengerusi MCA Negeri Sembilan, Soi Koi Voon pernah cuba membantu beliau dari sudut kewangan namun ditolak dengan cara baik.
“Tiada, tiada (elemen sogok), dia (Koi Voon) cakap kesian pada saya tapi saya tak ambil pun. Masa dia bagi budak saya ada sebelah dan saya terus beri kepada budak saya. Saya tak perlu,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.
Sebelum ini, akhbar Oriental Daily keluaran 17 Julai memaparkan tajuk: Berebut kerusi Parlimen, Ketua Pemuda UMNO Seremban mendakwa Soi koi Voon cuba memberinya 200 ‘duit belanja’.
Dalam perkembangan lain, Zool Amali menegaskan, UMNO Bahagian Seremban mahu bertanding kerusi Parlimen berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) meskipun cadangan itu ditolak MCA Negeri Sembilan.
Katanya, akar umbi tegas dalam prinsip bahawa UMNO mahu bertanding di Parlimen Seremban dan akan membawa usul mengenai perkara itu dalam mesyuarat cawangan.
“Setakat ini apa saya difahamkan, UMNO Bahagian Seremban akan mengeluarkan usul dalam mesyuarat cawangan yang akan dijalankan tidak lama lagi.
“Dalam usul itu mereka bersama bertegas mahukan UMNO bertanding di kerusi Parlimen Seremban,” katanya.
Pada masa sama, Zool Amali hairan apabila Ketua MCA Negeri Sembilan, Siow Koi Voon memetik nama MIC apabila alasan komposisi kaum digunakan.
Koi Voon sebelum ini berpendapat, alasan supaya kerusi Seremban diserah kepada UMNO berikutan penurunan peratusan pengundi Cina dan kekalahan MCA selama tiga kali adalah tidak kukuh.
Katanya, sekiranya alasan komposisi kaum digunakan, maka MIC tidak akan mempunyai kerusi di seluruh negara.
Zool Amali mempersoalkan jika alasan komposisi kaum tidak kukuh, mengapa MCA kalah dalam bertanding di kerusi Parlimen Seremban sebelum ini.
“Jika guna alasan komposisi kaum tidak kukuh, kenapa mereka tidak menang. Saya bukan cerita mengenai MIC, mengapa perlu tarik MIC dalam konflik antara kami berdua?
“Setakat ini saya memang ada konflik dengan MCA kerana kami bertegas tidak mahu MCA bertanding di Parlimen Seremban. Jika UMNO Pusat tidak mendengar keluh kesah akar umbi, kita tengok apa akan jadi pada PRU-15 nanti,” katanya.
Beliau bagaimanapun berharap UMNO Pusat mendengar suara akar umbi dan dapat bertindak serta merealisasikan impian mereka iaitu calon UMNO atau PAS diletakkan di kerusi Parlimen Seremban.
“Zaman sekarang ini bukan zaman jaga hati tapi zaman kena buat kerja. Kalau jaga hati sampai bila kita nak maju kerana kita ditolak ansur-ansur ketepi,” katanya.