Berita Utama

Tak fasih bahasa Melayu tidak layak jadi wakil rakyat

PLM cadang nak jadi wakil rakyat wajib lulus ujian bahasa Melayu

BANGI, 28 Zulkaedah 1441H, Isnin – Wakil rakyat yang masih tidak fasih menggunakan bahasa kebangsaan sepatutnya berasa malu dengan para pengundi mereka.

Meskipun tidak salah untuk fasih berbahasa Inggeris, namun begitu Timbalan Presiden Persatuan Linguistik Malaysia (PLM), Kamal Shukri Abdullah Sani menyifatkan, kegagalan wakil rakyat untuk fasih dalam bahasa Melayu jelas menjadi petunjuk sikap negatif mereka terhadap bahasa itu.

Kamal Shukri Abdullah Sani.

“Justeru, suka PLM mencadangkan agar semua calon wakil rakyat diwajibkan lulus ujian kecekapan bahasa Melayu yang disediakan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan. Jika gagal hilanglah kelayakannya.

“Kita tidak mahu lagi wakil rakyat yang ‘terbulu-bulu’ di Parlimen atau menteri yang tergagap-gagap menyebut bahasa kebangsaan sedangkan bahasa Inggeris fasih dan lancar sekali,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada masa sama, Kamal Shukri berkata, PLM konsisten menyokong penuh supaya DBP diberi kuasa undang-undang dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan.

Ini kerana sudah lebih 60 tahun DBP menegur dan menasihat tetapi banyak pihak tetap degil serta melanggar undang-undang atau akta berkaitan, katanya.

“Lebih aneh agensi atau jabatan kerajaan sendiri memandang sebelah mata sahaja teguran DBP,” katanya.

Sebelum ini, DBP menyarankan kerajaan meminda Akta DBP bagi membolehkan badan berkanun itu mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan undang-undang termasuk ke atas pihak berkuasa tempatan (PBT) yang tidak menghormati penggunaan bahasa kebangsaan.

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof Datuk Dr Awang Sariyan berkata, hampir semua daripada 150 PBT di seluruh negara dilihat tidak benar-benar mengutamakan bahasa Melayu malah ada yang gagal menjalankan penguatkuasaan mengikut peruntukan di bawah undang-undang kecil ditetapkan.

Menurutnya, lebih malang DBP dipersalahkan apabila papan iklan, nama bangunan, kawasan perumahan dan bandar lebih mengutamakan nama asing berbanding bahasa Melayu.

Saranan itu mendapat perhatian Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin yang memaklumkan akan memberi peringatan kepada PBT untuk menguatkuasakan akta lebih tegas agar sebarang kesilapan dan penyalahgunaan bahasa sama ada di papan iklan, nama bangunan, kawasan perumahan dan bandar dapat ditangani sebaiknya.

Bagaimanapun katanya, tiada keperluan untuk kerajaan meminda Akta DBP 1859 bagi memberi sedikit kuasa kepada badan berkanun itu mengambil tindakan termasuk ke atas PBT yang tidak menghormati penggunaan bahasa kebangsaan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button