Berita Utama

Tiba masa satukan Melayu, bukan berpecah tubuh parti baharu

Jika pemimpin berterusan main politik orang Melayu takkan maju

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 28 Zulkaedah 1441H, Isnin – Penganalisis politik memberi amaran, terlalu banyak parti politik Melayu bukan sahaja menyebabkan perpecahan bahkan cenderung mendatangkan keburukan kepada rakyat khususnya orang Melayu itu sendiri.

Menurut pandangan Dr Syed Agil Syed Alsagoff, tidak sewajarnya wujud terlalu banyak parti politik mewakili orang Melayu, sebaliknya pemimpin Melayu perlu memikirkan sama ada parti sedia ada mampu meneruskan agenda dan mempertahankan bangsa berkenaan.

“Perkara itu yang perlu diberikan pertimbangan, bukan akan menyebabkan orang Melayu berpecah belah dan sebagainya kerana mengikut aliran politik berasaskan individu tertentu,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad yang secara sinis bercadang mahu menubuhkan sebuah lagi parti politik baharu selepas parti yang diasaskannya – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) – sudah berpecah kepada dua kem.

Mahu menamakannya ‘Parti Apa Aku Dapat (AAD)’, Dr Mahathir berkata, kebanyakan orang Melayu suka menubuhkan parti politik, dan sebab itulah beliau menubuhkan Bersatu satu ketika dahulu.

Bersatu ditubuhkan secara rasmi pada September 2016 yang dikhususkan kepada orang Melayu, yang dikatakan sebagai pengganti kepada UMNO.

Bagaimanapun, sejak Februari lalu, parti berkenaan berdepan konflik dalaman apabila berpecah kepada dua kem di antara Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Dr Mahathir.

“Sebab itu saya ingin tubuh satu lagi parti politik Melayu. Nama parti ini ialah Parti AAD atau ‘Parti Apa Aku Dapat’. Tujuan memperkayakan orang Melayu yang belum dapat,” kata Dr Mahathir secara sinis.

Mengulas lanjut, Dr Syed Agil berkata, sudah sampai masanya parti politik mewakili orang Melayu bersatu dan memikirkan tentang hala tuju serta masa depan Melayu.

“Apa yang boleh kita boleh majukan mengenai orang Melayu daripada kita terus bermain politik dengan masyarakat Melayu,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button