Berita Utama

63 tahun merdeka, masih ada wakil rakyat tak fasih bahasa Melayu

Ubah kepada pendidikan 1 aliran untuk persediaan jangka panjang

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 29 Zulkaedah 1441H, Selasa – Menyedihkan apabila masih ada Ahli Parlimen dan wakil rakyat yang tidak fasih berbahasa Melayu, bahkan bertutur ‘pelat’ sehingga menjadi bahan jenaka rakyat.

Timbalan Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni berkata, kemahiran berbahasa Melayu dalam kalangan wakil rakyat tidak sepatutnya menjadi isu yang merunsingkan.

Memandangkan Malaysia sudah lebih 60 tahun merdeka, beliau berkata, kemahiran berbahasa Melayu adalah antara tanda seorang warganegara itu membesar dalam acuan yang betul.

“Malang sekali, masih terdapat Ahli Parlimen yang tidak mampu menerangkan sesuatu dengan baik di dalam bahasa Melayu.

“Jauh sekali untuk berkias dan bermadah dalam menyampai sesuatu dengan lebih sopan,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Oleh itu, beliau sangat menyokong cadangan pihak tertentu yang mahu kemahiran berbahasa Melayu dijadikan syarat ketat kepada mana-mana calon Ahli Parlimen.

“Selain daripada supaya semua Ahli Parlimen dapat berbincang dengan baik di dalam medium bahasa Melayu, langkah ini juga dapat meletakkan bahasa Melayu di kedudukan sebenarnya dalam negara,” katanya.

Walaupun begitu, Ustaz Muhammad Fauzi masih berpendapat bahawa kerajaan perlu memperbetulkan dahulu sistem pendidikan negara yang mempunyai pelbagai aliran.

“Untuk jangka panjang, kerajaan perlu bertegas agar sistem pendidikan sekolah hanya berjalan dalam satu aliran sahaja sebagai persediaan melahirkan warganegara yang fasih berbahasa Melayu di masa akan datang,” katanya.

Semalam, Persatuan Linguistik Malaysia (PLM) mencadangkan supaya semua calon wakil rakyat diwajibkan lulus ujian kecekapan bahasa Melayu yang disediakan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Kementerian Pendidikan.

Timbalan Presiden PLM, Kamal Shukri Abdullah berkata, kegagalan wakil rakyat untuk fasih dalam bahasa Melayu jelas menjadi petunjuk sikap negatif mereka terhadap bahasa itu.

“Kita tidak mahu lagi wakil rakyat yang ‘terbulu-bulu’ di Parlimen atau menteri yang tergagap-gagap menyebut bahasa kebangsaan sedangkan bahasa Inggeris fasih dan lancar sekali,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button