Berita UtamaDunia

70 wanita hamil di Oman positif COVID-19

Tiada bukti virus jangkiti bayi dalam kandungan, ketika kelahiran

MUSCAT, 29 Zulkaedah 1441H, Selasa – 70 wanita hamil di Oman dijangkiti COVID-19, manakala sembilan daripadanya dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU).

Media antarabangsa melaporkan, terdapat tiga kes yang mana mereka terpaksa melahirkan bayi lebih awal.

Bagaimanapun, kesemua kes jangkitan tidak mengakibatkan kematian.

Pengarah Ginekologi dan Obstetrik di Hospital Diraja, Dr Moza Abdullah Al Suliamani berkata, masih belum terbukti bahawa wanita hamil yang positif COVID-19 akan mendapat masalah kesihatan lebih teruk berbanding pesakit lain yang dijangkiti virus sama.

Bagaimanapun, katanya wanita berkenaan berkemungkinan akan mengalami jangkitan pernafasan berikutan perubahan sistem imunisasi dan badan.

“Jadi, amat penting untuk mereka mengambil langkah pencegahan bagi melindungi diri dan bayi.

“Selain itu, mereka perlu melaporkan jika mengalami simptom seperti demam, batuk atau sukar bernafas,” katanya.

Pada masa sama, beliau mengesahkan bahawa kebanyakan wanita hamil yang dijangkiti pandemik itu menunjukkan gejala ringan selain dijangkiti sama ada daripada suami atau ahli keluarga.

“Tetapi masalah kesihatan ini boleh memberi kesan kepada ibu atau bayi mereka,” katanya.

Jelas beliau, pihaknya turut mengalami masalah memandangkan kebanyakan wanita terbabit tidak mendedahkan sekiranya terdapat ahli keluarga mereka positif COVID-19.

Ibu-ibu terbabit hanya akan memberitahu perkara berkenaan sebaik sahaja dimasukkan ke hospital.

Sebelum ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengingatkan supaya ibu hamil diutamakan bagi ujian saringan COVID-19.

Setakat ini, tiada bukti menunjukkan bahawa mereka boleh menyebarkan virus berkenaan kepada bayi dalam kandungan atau ketika kelahiran.

Virus itu juga tidak ditemui pada susu ibu. -Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button