Berita Utama

1MDB membelenggu UMNO belum temui noktah

Walau diambil luar konteks, kenyataan Tok Mat ada merit

BANGI, 11 Zulhijjah 1443H, Isnin – Kekalutan sudah sedia melanda UMNO dilihat menjadi makin parah terutama menyentuh krisis kepemimpinan dan sokongan tertentu terhadap golongan berbalah dalam parti.

Malahan, sejak awal isu 1MDB meledak lagi, jelas kelihatan sudah ada percanggahan pandangan berhubung kes sensasi itu pada semua peringkat baik dalam kalangan pemimpin dan pengikut hingga kepada rakyat.

Justeru, tidak hairanlah sejak itu, beberapa pemimpin parti secara terbuka membuat kenyataan dan komentar sama ada secara langsung atau tidak berhubung isu serta individu terpalit dengan skandal terburuk sejarah tanah air dan dunia, dengan pelbagai telahan dan andaian sehingga mendorong kepada pendirian peribadi.

Penolong Naib Canselor Kepimpinan dan Pembangunan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Prof Datuk Mohd Fadzil Abdul Rahman berkata, ada yang masih tegar menyokong, tetapi tidak kurang juga tegar menyanggah dalam isu berkenaan.

“Namun, paling menarik dan terkini adalah kenyataan daripada Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan atau lebih mesra dengan gelaran Tok Mat sendiri yang melontarkan pandangan terhadap isu membabitkan bekas ketuanya sendiri.

“Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau sebenarnya banyak membuat kenyataan menjurus kepada perlunya hukuman setimpal ditegakkan dan tindakan sewajarnya diambil terhadap isu yang menjadi liabiliti besar menghantui parti, sekali gus meranapkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

“Malah, BN turut kehilangan sekutu kuatnya di Sarawak gara-gara insiden kes 1MDB menghilangkan keyakinan rakyat,” katanya menulis di Berita Harian.

Beliau berkata, pandangan itu jika diamati dengan hati terbuka dan penuh tawaduk sememangnya ada merit dan amat berkaitan untuk dibincangkan walaupun Tok Mat dalam kenyataan lain menjelaskan ia diambil di luar konteks.

“Reaksi terhadap isu 1MDB berdasarkan komentar sinis dilontarkan melalui suara rakyat, majoriti merasakan seolah-olah tiada kesaksamaan dalam pelaksanaan hukuman kes dengan membezakan antara kes mencuri di pasar raya berbanding kes IMDB.

“Diakui ilmu dan literasi rakyat marhaen mungkin belum sampai ke tahap sewajarnya dalam bidang ilmu hukum, tetapi berdasarkan kaca mata umum itu, kes sebesar ini kelihatan seolah-olah tidak menampakkan apa-apa kesan. Bagi golongan ini, jika dua mahkamah dan empat hakim belum dianggap memadai, apa lagi yang cukup?

“Dengan kata lain, inilah inti pati tersirat dalam kenyataan terkini Tok Mat seperti disiarkan dalam portal yang boleh diakses semua,” katanya.

Hakikatnya beliau berkata, kenyataan Tok Mat itu boleh dibaca sebagai kerisauan dan kegusaran yang memang kena pada tempatnya.

“Liabiliti besar membelenggu parti masih belum menemui penyudah dan noktah lagi. Jadi, bagaimana agaknya persediaan dan kekuatan parti boleh diperkasakan bagi menyiap serta memperlengkapkan diri untuk menghadapi PRU nanti?,” soalnya.

Pautan berita;
https://www.bharian.com.my/kolumnis/2022/07/974682/isu-1mdb-terus-meracun-umno

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button