Hanya individu minda kelas ketiga sanggup lakukan vandalisme
Sikap rakyat juga perlu berubah seiring pembangunan negara
Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
BANGI, 29 Zulkaedah 1441H, Selasa – Angkatan Pemuda-Pemudi Berjasa (Angkasa) mengutuk sikap tidak bermoral individu yang melakukan perbuatan vandalisme pada mural gergasi potret beberapa pemimpin negara, di Taman Cahaya Alam Seksyen U12, Shah Alam.
Setiausaha Angkasa, Muhammad Firdaus Hamdan berkata, kejadian berkenaan menunjukkan segelintir rakyat Malaysia masih berfikiran minda kelas ketiga.
Kesal dengan perbuatan itu, beliau menggesa agar siasatan serta tindakan tegas diambil kepada pesalah-pesalah tersebut.
“Siasatan perlu dilakukan bagi mengetahui apakah motif kejadian tersebut. Adakah mungkin kejadian tersebut mempunyai motif politik kerana potret tersebut mengekspresikan penghargaan terhadap pemimpin negara.
“Ini ditambah pula dengan pelbagai pihak yang masih tidak berpuas hati dengan kepimpinan kerajaan baharu yang menggantikan kerajaan Pakatan Harapan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.
Tidak mahu kejadian sama berulang, beliau berkata, rakyat Malaysia tidak kira berhaluan politik apa sekali pun perlu berubah.
“Pembangunan negara sudah banyak dilakukan demi keselesaan dan kesejahteraan rakyat.
“Maka, perubahan minda dan sikap juga perlu bergerak seiring dengan kemajuan dan pembangunan yang dilakukan.
“Pembangunan kelas pertama, minda dan sikap juga perlu kelas pertama,” tegasnya.
Mural gergasi yang dilukis pada dinding sebuah bangunan kedai memaparkan potret Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang
Mural hasil karya tiga anak muda iaitu Muhammad Suhaimi Ali, 27, Muhamad Firdaus Nordin, 26, dan Abdul Hadi Ramli, 27 tahun bagaimanapun, diconteng dengan perkataan kurang menyenangkan menggunakan cat merah.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, dua individu – dipercayai wanita – dikesan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang pada bangunan kedai berdekatan lokasi kejadian.
Katanya, siasatan berkaitan kes tersebut dijalankan mengikut Seksyen 504/427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.