Berita Utama

Dedah campur tangan menteri, Hamid sedia beri kerjasama

Bekas Ketua Polis Negara halang rancangan kuasai SB bagi tujuan politik?

PETALING JAYA, 23 Ramadan 1442H, Rabu – Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador bersedia untuk bekerjasama dan dirakam keterangan sekiranya pendedahan mengenai campur tangan menteri dalam Cawangan Khas (SB) Bukit Aman disiasat.

Abdul Hamid berkata, pendedahan berkenaan dilakukan bagi menghalang rancangan menguasai jabatan itu bagi tujuan politik.

“Saya tengok perkembangan. Kalau nak saya datang beri keterangan, saya datanglah, dan pada saya biarlah kepimpinan Bukit Aman siasat, nak tentukan kes jenayah ke terpulang kepada mereka.

“Apa pun saya nak halang perancangan menguasai Cawangan Khas untuk digunakan bagi kepentingan politik, (sebab) itulah saya dedahkan,” katanya seperti dipetik media tempatan, hari ini.

Terdahulu, Abdul Hamid berkata, Menteri Dalam Negeri dikatakan ‘mengatur langkah’ untuk menjadikan ‘budaknya’ pengarah agensi perisikan polis itu.

Beliau berkata, menteri cuba meletakkan seorang bekas pegawai kanan SB yang telah tamat kontrak tahun lalu, kerana beliau mudah mengikut arahan ahli politik.

Langkah itu diatur selepas Cawangan Khas enggan menyertai operasi yang menurutnya dipaksa oleh Hamzah bagi tujuan politik peribadi.

Bagaimanapun, langkah itu terhenti apabila isu tersebut dibawa ke pengetahuan Perdana Menteri.

Abdul Hamid mendakwa, menteri turut meminta SB melakukan ‘beberapa operasi’ bagi tujuan politik sendiri, tanpa memberikan butiran lanjut atas sebab kerahsiaan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button