Uncategorized

ISMA syor tubuh pasukan khas sekolah satu aliran

Sampai bila nak lihat rakyat berbalah isu sekolah vernakular?

BANGI, 29 Zulkaedah 1441H, Selasa – Gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) menyarankan kerajaan Perikatan Nasional (PN) menubuhkan satu pasukan khas bagi membincangkan kewajaran sekolah satu aliran.

Bagaimanapun, Presidennya, Haji Aminuddin Yahaya berharap, jawatankuasa berkenaan bersikap telus dan adil, tidak seperti jawatankuasa pasukan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), di mana pimpinan Dong Zong dilantik menjadi anggota panel jawatankuasa tertinggi.

Sarannya, semua pihak yang berkepentingan seperti aktivis pendidikan, ahli akademik, pakar sosio budaya, NGO dan tokoh dapat dibabitkan untuk berbincang dengan profesional dan berfakta berhubung kewajaran sekolah satu aliran.

“…yang akhirnya akan diambil segala maklum balas dan maklumat ini oleh kerajaan untuk dinilai sekaligus membantu membuat keputusan.

“Jika kerajaan tidak ambil peluang ini, sampai bila lagi kita mahu lihat rakyat berbalah dalam isu ini lebih-lebih lagi isu sekolah vernakular sering kali menjadi bahan mainan politik, terutamanya dalam mengemis undi kaum dan masyarakat tertentu.

“Inilah masanya untuk kita selesaikan masalah yang sudah berlarutan selama lebih 50 tahun dan ‘move on’,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Haji Aminuddin yang juga Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) turut mengingatkan kerajaan bahawa antara penyumbang besar kepada sentimen anti-Pakatan Harapan (PH) adalah kerana kemarahan rakyat yang memuncak terhadap Dong Zong.

Dakwanya, kerajaan PH ketika itu dilihat sangat mesra dengan Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia tatkala mereka banyak bertindak biadab.

“Dan dari situlah rakyat mula menyedari serta mempelajari bahawa sekolah vernakular ini adalah satu ‘barah’ kepada keharmonian negara.

“Inilah masanya untuk memuktamadkan ‘once and for all’ dalam perbahasan apakah wajar sekolah satu aliran ini diwujudkan di Malaysia sekaligus memuktamadkan juga kewajaran kewujudan sekolah vernakular sebagai sebahagian daripada sistem persekolahan utama di negara kita,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Haji Aminuddin memaklumkan tindakan ISMA mencabar keabsahan sekolah vernakular di mahkamah masih dalam proses.

“Di situ, kami menghadapi pihak pencelah bagi (membela) pihak sekolah vernakular iaitu dari kalangan parti-parti politik dan NGO-NGO seperti MCA, MIC dan Dong Zong. Doakan kami,” kata beliau.

UEC adalah silibus sekolah persendirian Cina yang mana sukatan pelajarannya diambil dari Taiwan.

Pengiktirafan UEC bercanggah dengan Dasar Pendidikan dan Akta Pendidikan 1996.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button