JKN Perak kenal pasti individu langgar arahan kuarantin
Operasi sanitasi nyahcemar kuman diadakan di premis terbabit
SUNGAI SIPUT, 29 Zulkaedah 1441H, Selasa – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak telah mengenal pasti individu yang gagal mematuhi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) serta restoran yang dikunjunginya di bandar Meru Raya di sini, baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, pihak JKN Perak bagaimanapun masih lagi mengumpul maklumat terperinci berhubung insiden itu yang tular di media sosial sejak semalam.
“Saya nasihatkan orang ramai yang pernah makan di kafe itu mengambil langkah berjaga-jaga dan sekiranya bimbang mereka boleh membuat ujian COVID-19 atau menjalankan kuarantin di rumah jika bergejala,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan pemindahan gajah liar di Kampung Jalong di sini hari ini.
Semalam, tular di media sosial seorang wanita yang memakai tag berwarna merah jambu menunjukkan masih dalam tempoh kuarantin di rumah, makan di sebuah kedai di bandar Meru Raya sehingga mendapat kritikan masyarakat.
Sementara itu, Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri Perak, Muhamad Shahrizal Aris berkata, pihaknya telah melakukan operasi sanitasi nyahcemar kuman di premis terbabit dan beberapa kedai dalam deretan sama.
Katanya, operasi selama satu jam setengah yang bermula pada 2.30 petang tadi melibatkan seramai enam anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Meru.
“Fokus operasi sanitasi nyahcemar kuman adalah di tempat-tempat yang melibatkan banyak sentuhan seperti meja dan kerusi,” katanya. -Bernama