Berita Utama

Kerajaan perlu perjelas kedudukan semasa TH

Mengejutkan, 2 tahun tak diaudit atau dibentang laporan kewangan

BANGI, 29 Zulkaedah 1441H, Selasa – Rakyat perlukan jaminan dan penjelasan kerajaan berhubung status kedudukan semasa Tabung Haji, termasuk usaha-usaha peneguhan yang mesti dikongsikan secara terbuka. 

Ketua Penerangan PAS, Kamaruzaman Mohamad berkata, mutakhir ini, Tabung Haji seakan diheret ke kancah politik yang dilatari pertembungan dan polemik, sedikit sebanyak menggoyahkan kepercayaan mereka. 

Pun begitu, katanya, institusi ini teramat penting bagi umat Islam untuk kekal bertahan dan dipertahankan.

“Justeru, PAS mencadangkan supaya Sidang Dewan Rakyat yang sedang berlangsung di Parlimen ketika ini menjadi kesempatan dan medan terbaik pimpinan kerajaan termasuk pembangkang sama-sama membincangkannya. 

“Juga laporan berkaitan dapat dibentangkan dengan telus dan bertanggungjawab sebagai penjelasan rasmi kepada semua,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sejak beberapa tahun ini, hasil atau keuntungan bersih Tabung Haji semakin berkurang dengan tahun lalu (2019) hanya RM3.2 bilion sahaja. 

Ditambah lagi dengan pertukaran kerajaan, berbangkit isu-isu ketidakwajaran dan keraguan terhadap pemberian hibah; penyusutan nilai aset; penjualan aset-aset di bawah nilai sebenar; pemindahan aset tidak berdaya saing; salah laku, salah guna kuasa, penyelewengan dan sebagainya, kata Kamaruzaman.

“Atas pelbagai skandal yang didakwakan, status Tabung Haji telah dilihat umum sebagai isu penuh manipulasi. Kegusaran rakyat yang selama ini melihatnya sebagai pelaburan berhemah telah menjadi persepsi dan kekhuatiran ia akan melebur dan lemah. 

“Antaranya, walaupun diakui tidak berlaku jualan kepada bukan-Islam, tetapi rakyat melihat ia terdedah berlaku secara tidak langsung.

“Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Nik Mohd Hasyudeen Yusoff sendiri ‘mendedahkan’ pengecualian hak penolakan pertama bagi 18 aset hartanah dipindah ke Urus Harta Jemaah Sdn Bhd (UJSB) melalui kelulusan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof. Tetapi Mujahid pula bernada menyangkal,” katanya.

Pada masa sama, umat Islam juga berasa hairan apabila proses rasionalisasi syarikat 73.84 peratus milik Tabung Haji antaranya TH Plantation Bhd (THP) kononnya tidak mempamerkan prestasi mengikut jangkaan. 

Lebih mengejutkan, katanya, apabila empat Hotel TH dilepaskan kepada syarikat milik (SPV) Kementerian Kewangan ketika zaman PH yang diketuai oleh Lim Guan Eng. 

“Sedangkan masing-masing hotel tersebut merekodkan keuntungan. Sekali gus ia mengundang dan mencetus tanda tanya hingga mengusik sentimen perolehan atau urusan hukum halal haram diperdebatkan dalam diri pendeposit khususnya dan umat Islam negara ini amnya. 

“Apatah lagi pendedahan terbaharu yang mengejutkan apabila dinyatakan Tabung Haji sudah dua tahun (2018 dan 2019) tidak diaudit atau dibentang laporan kewangannya,” katanya.

Beliau berkata, keadaan ini sudah tentu membesarkan lagi skeptikal awam yang boleh meruntuhkan reputasi dan wibawa terhadap Tabung Haji.

“Bagaimana tanpa audit, badan berkanun ini boleh beraktiviti menerima deposit, melakukan pelaburan, mengadakan penjualan dan melaksanakan pindahan? Bagi merungkai semua isu ini, jawatankuasa khas perlu ditubuhkan demi siasatan telus dan bebas.

“Justeru, kita bersetuju Jawatankuasa Khas Kerajaan atau seangkatannya ditubuhkan demi siasatan telus dan bebas,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button