Kurang rawatan, 14 tahanan di penjara Mesir maut akibat COVID-19
Pihak berkuasa gagal kesan kontak, tak benar pakai pelitup muka
KAHERAH, 29 Zulkaedah 1441H, Selasa – Sekurang-kurangnya 14 tahanan penjara di Mesir meninggal dunia akibat dijangkiti pandemik COVID-19, menurut Human Rights Watch (HRW).
Dalam satu laporan, kumpulan hak asasi yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu berkata, dakwaan berkenaan berdasarkan surat yang dibocor dari penjara serta sumber tempatan yang boleh dipercayai.
Difahamkan, jumlah kematian itu merangkumi tempoh sehingga 15 Julai lalu.
“Walaupun tahanan menunjukkan gejala COVID-19 ringan hingga teruk, penjara tidak mempunyai rawatan perubatan mencukupi dan hampir tiada ujian saringan mengesan wabak,” kata HRW berdasarkan pemerhatian di 10 pusat tahanan.
HRW mendakwa, pihak berkuasa penjara gagal melakukan pengesanan kontak dan hanya membuat pengasingan terhadap tahanan bergejala.
Pegawai di sekurang-kurangnya tiga penjara menolak untuk membenarkan tahanan memakai pelitup muka, bahkan maklumat mengenai keadaan kesihatan di penjara Mesir dikawal ketat pihak berkuasa, dakwa kumpulan hak asasi itu.
HRW mendakwa, Mesir telah membebaskan sekitar 13,000 tahanan sejak Februari, namun ia masih belum mampu menangani kesesakan dalam penjara.
“Pihak berkuasa Mesir harus mengambil langkah segera untuk menyediakan rawatan perubatan mencukupi kepada tahanan, selain mengambil langkah pencegahan COVID-19.
“Sangat penting untuk Mesir segera menangani penularan wabak ini dengan mempercepatkan pembebasan tahanan,” kata wakil Pengarah HRW di Timur Tengah dan Afrika Utara, Joe Stork. – Agensi