Berita UtamaDunia

Misi ke Marikh masa depan UAE: Sarah Al-Amiri

Al-Amal dijangka tiba di orbit planet Marikh pada Februari 2021

ABU DHABI, 29 Zulkaedah 1441H, Selasa – Emiriah Arab Bersatu (UAE) melancarkan kapal angkasa penjelajah, Hope ke planet Marikh semalam, menandakan misi antara planet pertama oleh negara Arab.

Pelancaran pesawat peninjau itu menyaksikan roket berlepas dari Pusat Angkasa Tanegashima di selatan Jepun pada jam 6:58 pagi waktu tempatan, selepas penundaan minggu lalu susulan cuaca buruk.

Hope atau Al-Amal dalam bahasa Arab adalah sumber kebanggaan UAE iaitu pendatang baharu kepada dunia angkasa lepas.

Pelancaran Hope – dijadualkan 15 Julai lalu – terpaksa ditangguhkan dua kali sebelum ini akibat masalah cuaca berjaya dilancarkan dengan pengiraan 10 saat.

Hope dijangka tiba di orbit planet Marikh pada Februari 2021 sekali gus meraikan ulang tahun ke-50 tahun penyatuan UAE yang merangkumi tujuh emiriah.

Antara matlamat misi ke Marikh ialah bagi mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai cuaca di planet itu selain impian lebih besar bagi mewujudkan penempatan manusia di sana dalam tempoh 100 tahun lagi.

Menteri Negara Untuk Kemajuan Sains yang juga Timbalan Pengurus Projek Misi Marikh UAE, Sarah Al-Amiri berkata, misi ini bertujuan memberi gambaran lengkap mengenai kehidupan di Marikh untuk pertama kali serta mempelajari perubahan harian dan musim.

“Ini ialah masa depan UAE. Saya mengucapkan terima kasih kepada UAE kerana diberikan peluang ini,” katanya kepada TV Dubai.

Selain UAE, Amerika Syarikat (AS) dan China turut melancarkan misi ke Marikh pada musim panas ini.

China menyasarkan misi ke Marikh Julai ini membabitkan pendaratan robot kawalan jauh di atas permukaan planet merah itu. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button