Berita Utama

Sampai bila nak ‘beri muka’ pada individu biadab hina Agong

Tindakan biadab berulang jika tak kenakan hukuman setimpal

BANGI, 29 Zulkaedah 1441H, Selasa – Sekiranya pihak berkuasa gagal menangkap dan mengenakan hukuman setimpal ke atas pihak yang melakukan vandalisme terhadap mural Yang di-Pertuan Agong serta beberapa lagi pemimpin negara, pasti siri tindakan biadab seumpama itu akan berulang. 

Justeru, Naib Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin mendesak pelaku ditangkap dan dikenakan hukuman yang setimpal ekoran tindakan biadabnya itu. 

Beliau juga mengutuk tindakan pelaku – dipercayai dua individu wanita – kerana bukan hanya merosakkan hasil mural di bangunan kedai Seksyen U12, Shah Alam itu, bahkan menconteng kata-kata kesat pada potret Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Akibat tindakan itu, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) terpaksa mengambil tindakan memadam keseluruhan lukisan tersebut. 

Perbuatan itu menyebabkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah murka, selain Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar turut berduka cita.

Dr Zainur Rashid menegaskan bahawa tindakan biadab dua pelaku itu melampau, dan tidak boleh dipandang ringan. 

“Tidakkah kita pernah dikejutkan dengan seorang yang menghina lagu Negaraku? Tidakkah kita pernah ‘dipanaskan’ oleh hartawan menghina ATM?

“Tidakkah kita ingat beberapa insiden menghina Jalur Gemilang? Tidakkan kita pernah dikejutkan oleh beberapa insiden penghinaan Agong sebelum ini?

“Kenapa kerajaan harus terus ‘lembik’ dengan mereka yang biadab dan kurang ajar ini?,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Polis sedang mengenal pasti dua wanita yang dipercayai terbabit dalam perbuatan vandalisme pada mural gergasi potret beberapa pemimpin negara. 

Mural gergasi hasil karya tiga anak muda yang memaparkan potret Agong, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu diconteng dengan perkataan kesat menggunakan cat merah.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button