Berita Utama

Tekong Myanmar ditahan ketika merasuah pegawai Maritim

Cuba serah RM25,000 bagi lepaskan 25 Rohingya yang ditahan

LANGKAWI, 29 Zulkaedah 1441H, Selasa – Cubaan dua lelaki warga Myanmar disyaki cuba merasuah pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) hari ini, gagal apabila mereka ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Menurut sumber, suspek ditahan pada jam 3.35 pagi tadi ketika cuba menyerahkan wang RM25,000 kepada pegawai Maritim bagi tujuan melepaskan 25 pendatang Rohingya yang mendarat dan ditahan di Langkawi, sebelum ini.

Kedua-dua suspek berusia 29 dan 35 tahun adalah tekong terbabit dalam kegiatan penyeludupan manusia, terutamanya etnik Rohingya di sekitar Langkawi.

“Mereka ditahan kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan akan direman Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah,” kata sumber seperti dilapor Harian Metro.

Sementara itu, SPRM dijangka menyerahkan kedua-dua suspek kepada polis bagi membolehkan tindakan diambil mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan siasatan lanjut sedang dilakukan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button