Berita Utama

UEC ancaman perpaduan nasional

Dasar pendidikan negara berteras bahasa Melayu mesti dimartabat

BANGI, 29 Zulkaedah 1441H, Selasa – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin mesti bertegas untuk tidak sesekali mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang bercanggah dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan – sekalipun didesak oleh mana-mana pihak.

Ahli Jawatankuasa Pusat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Shuhaib Ar-Rumy Selamat berkata, tindakan itu perlu bagi memastikan dasar pendidikan negara yang berteraskan kepada bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama terus dimartabatkan.

“UEC juga adalah ancaman utama kepada perpaduan nasional. Mustahil untuk memupuk perpaduan nasional dengan menerima sistem pendidikan Taiwan bagi diamalkan di Malaysia,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Terdahulu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan kerajaan tidak pernah menyatakan akan mengiktiraf UEC dalam pertemuan beliau bersama pimpinan organisasi Cina – Hua Zong – Khamis lalu.

Sebaliknya, Perdana Menteri menegaskan UEC perlu mengikut Dasar Pendidikan Kebangsaan sekiranya mahu dipertimbangkan penyelesaiannya oleh kerajaan pada masa hadapan.

Sebelum ini, Sin Chew Daily melaporkan, pertemuan diketuai Tan Sri Goh Tian Chuan telah menyerahkan 15 tuntutan berkenaan ekonomi, politik dan pendidikan kepada Perdana Menteri, pada masa sama menggesa kerajaan mengiktiraf sijil UEC Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC).

Goh Tian Chuan mendakwa, SMPC dan UEC berasal dari Malaysia dan mendapat pengiktirafan berterusan daripada banyak kerajaan serta kolej di seluruh dunia, yang memberi peluang kepada lepasannya melanjutkan pengajian ke luar negara.

Bagaimanapun selepas itu, Goh Tian Chuan didakwa bersetuju dan menyokong kenyataan Perdana Menteri yang menegaskan bahawa pendekatan penyelesaian isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) harus berlandaskan dasar pendidikan negara.

Tian Chuan berkata, Hua Zong menyokong sepenuh kenyataan Perdana Menteri bahawa akan berbincang semula untuk mencapai kesepakatan berdasarkan dasar dan keadaan negara.

UEC adalah silibus sekolah persendirian Cina yang mana sukatan pelajarannya diambil dari Taiwan.

Pengiktirafan UEC bercanggah dengan Dasar Pendidikan dan Akta Pendidikan 1996.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close