Berita Utama

Hanya RM60, warga asing boleh miliki MyKad?

Aktiviti jual beli MyKad palsu berleluasa sejak 19 tahun lalu

Oleh Fazleen Safina

BANGI, 1 Zulhijjah 1441H, Rabu – Cadangan sesetengah pihak yang meminta kerajaan mempertimbangkan pengeluaran MyKad baharu wajar diambil perhatian serius.

Hal ini selepas Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Kamal Affandi Hashim mendedahkan, aktiviti pemalsuan MyKad mula dikesan bergerak aktif di negara ini sejak 19 tahun yang lalu.

Beliau mendakwa, pernah melihat sendiri bagaimana MyKad dijual secara meluas kepada warga asing pada tahun 2001 di Tawau, Sabah.

Lebih mengejutkan, ujarnya, setiap satu MyKad berkenaan dijual pada harga tidak masuk akal iaitu sekitar RM60 sahaja.

“Menerusi mikrocip pada Mykad, mereka ‘scan’ muka dan kemudian dilapik semula, seolah-olah kelihatan yang betul (asli).

“Ia (keaslian Mykad) hanya akan dapat dikesan apabila imbasan dibuat pada mikrocip yang diletak di dalam MyKad, “ katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau menegaskan, kes pemalsuan MyKad bukan isu baru, malah menolak dakwaan ianya diperolehi suspek dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Tegas beliau, MyKad yang dibeli oleh warga asing dihasilkan secara cetakan dan pemalsuan.

Sebelum ini, media melaporkan, dengan hanya membayar RM200 hingga RM300, lapan warganegara Indonesia boleh memperoleh kad pengenalan palsu dan menggunakannya untuk mendapatkan pekerjaan di negara ini.

Mereka masing-masing memperoleh kad berkenaan daripada individu berasingan didakwa tidak dikenali sejak setahun lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, rahsia warga asing itu terbongkar apabila cuba memohon pekerjaan di sebuah kilang di Meru.

Mengulas mengenai perkara sama, Kamal Affandi menyarankan, kerajaan untuk menyediakan peruntukan mencukupi kepada pihak berkuasa bagi membeli mesin pengimbas.

Beliau berkata, perkara itu penting bagi mengesan kad pengenalan (MyKad) palsu.

Katanya, mutu dan kualiti MyKad terbaik di dunia sekalipun tidak memadai sekiranya pihak berkuasa masih lagi tidak mampu mengenal pasti kad pengenalan palsu akibat kekurangan mesin pengimbas.

“Maka, kita akan berbalik kepada asal iaitu tidak dapat membezakan antara sesuatu yang asli dengan sesuatu yang palsu dan tiruan.

“Jadi, apa yang perlu dilakukan oleh pemerintah ialah menyediakan peruntukan kepada pihak-pihak berkuasa seperti imigresen, kastam, polis dan mereka yang terlibat di barisan hadapan untuk mengimbas kad-kad yang dikeluarkan termasuk passport dan permit kerja.

“Kalau kita keluarkan dokumen baharu sekalipun, apakah ia menjamin bahawa tidak ada pemalsuan akan dilakukan?” soalnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button