Berita Utama

Kes terowong: Guan Eng sambung keterangan SPRM pada Sabtu

'Sebenarnya beliau tidak sihat hari ini, ada sijil cuti sakit 2 hari'

PUTRAJAYA, 1 Zulhijjah 1441H, Rabu – Bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng sekali lagi diminta hadir ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Sabtu ini berkaitan siasatan kes projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Lim, yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, hadir ke ibu pejabat SPRM di sini pada 1.05 tengah hari sebelum meninggalkan bangunan itu pada 7.13 malam tanpa memberi kenyataan kepada media.

Peguamnya, RSN Rayer yang menemani Lim di SPRM hari ini bersama Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo, mengesahkan Setiausaha Agung DAP itu diminta hadir pada 10 pagi Sabtu ini.

“Beliau hadir sebagai seorang saksi. Sebenarnya beliau tidak sihat hari ini, beliau ada sijil cuti sakit untuk dua hari, hari ini dan esok. Namun demikian memandangkan kami telah menerima notis untuk hadir, kami memberi kerjasama hadir di SPRM,” kata Rayer.

Pada 30 Jun lepas, SPRM menahan bekas pegawai tinggi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC) bagi membantu siasatan berhubung elemen rasuah dalam projek terowong itu yang melibatkan anggaran kos keseluruhan RM6.3 bilion.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan serta beberapa exco dan bekas exco kerajaan negeri turut dipanggil memberi keterangan kepada SPRM berhubung projek mega itu. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close