Berita UtamaDunia

Peta Palestin: Google bersekongkol laku pembersihan bangsa

Desak masuk semula peta Palestin, bimbang normalkan penjajahan

BAITULMAQDIS, 1 Zulhijjah 1441H, Rabu – Aktivis pro-Palestin melancarkan kempen dalam talian menyeru Google dan Apple meletakkan kembali Palestin dalam peta mereka.

Petisyen yang dilancarkan di platform change.org itu mendakwa, syarikat gergasi internet berkenaan cuba menghapus identiti Palestin dengan mengubah fakta agar sesuai dengan objektif Amerika Syarikat (AS) serta Israel.

“Menurut Google, Palestin tidak ada. Sama ada dengan sengaja atau tidak, Google menjadikan dirinya terlibat dalam pembersihan bangsa oleh pemerintah Israel terhadap Palestin,” kata petisyen itu.

Google telah menggantikan nama-nama kota dan kampung Palestin dengan nama Israel, sekali gus mencetuskan ketakutan enjin carian itu cuba menormalkan penjajahan yang dirancang Israel terhadap beberapa bahagian di Tebing Barat yang diduduki sejajar dengan ‘rancangan perdamaian’ kontroversi Presiden AS, Donald Trump.

“Apa yang dilakukan terhadap Palestin ini adalah penghinaan yang amat berat bagi rakyat Palestin dan melemahkan usaha berjuta-juta orang yang terlibat dalam kempen untuk menjamin kemerdekaan Palestin dan kebebasan dari penjajahan dan penindasan Israel,” tambah petisyen itu.

Justeru, para aktivis meminta Google menetap dan mengenal pasti wilayah Palestin yang diduduki secara haram oleh Israel.

Petisyen itu kini sudah menerima lebih 1 juta tandatangan dari seluruh dunia – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button