Berita UtamaDunia

Sengaja batuk depan doktor, pesakit COVID-19 didakwa

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman 3 tahun penjara

MANAMA, 1 Zulhijjah 1441H, Rabu – Pendakwa raya Bahrain mendakwa seorang pesakit COVID-19 kerana sengaja batuk dan cuba menyebarkan penyakit berkenaan kepada doktor.

Tindakan itu dilakukan semasa dia tidak memakai pelitup muka ketika mengunjungi pusat ujian coronavirus, menurut laporan media tempatan.

Jabatan Kesihatan Awam di Bahrain melaporkan, tertuduh tiba di pusat pemeriksaan untuk melakukan ujian COVID-19 kedua setelah pemeriksaan terakhirnya mengesahkan dia positif coronavirus.

Semasa ujian kedua, tertuduh dengan sengaja menanggalkan pelitup muka dan batuk di hadapan doktor yang ada di pusat itu, selain sengaja batuk di tangannya dan kemudian dengan cepat menyentuh doktor di bahagian tubuh untuk menyebarkan coronavirus, menurut akhbar Akhbar al-Khaleej tempatan.

“Pendakwa raya telah menyoal siasat tertuduh dan mendakwanya mendedahkan orang lain kepada jangkitan, yang merupakan kesalahan di bawah Undang-Undang No. 34 tahun 2018 berkait kesihatan masyarakat, yang hukumannya hingga tiga tahun penjara dan denda sepuluh ribu dinar. 

“Pendakwa raya juga memerintahkan agar dia ditahan dan penyiasatan sedang diselesaikan sebagai persiapan untuk membawa tertuduh ke mahkamah,” kata Ketua Pendakwa Raya, Adnan al-Wada’i.

Bahrain melaporkan 380 kes baru novel coronavirus pada hari Selasa.

205 daripadanya dikesan pada pekerja migran sementara 166 kes kerana bersentuhan dengan pesakit coronavirus yang ada.  

Sembilan pesakit dari kes yang baru disahkan dikesan ketika tiba dari luar negara.

Sehingga Selasa, Bahrain telah mengesahkan 3,732 kes aktif, 47 daripadanya dalam keadaan kritikal. Setakat ini, 90 kes aktif dirawat di Bahrain sementara kerajaan itu telah mengesahkan 129 kematian sejak tercetusnya COVID-19.

Pemerintah Bahrain mengatakan, bulan lalu bahawa ia akan membayar 50 peratus gaji untuk pekerja syarikat swasta di sektor yang terkesan akibat wabak coronavirus.

Pihak berkuasa di Arab Saudi dan Bahrain kini sedang bersiap untuk membuka kembali jambatan King Fahd Causeway secara beransur-ansur yang menghubungkan kedua-dua negara selepas Aidiladha – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button