Berita Utama

UEC: Teruk dibidas, Hua Zong minta pertubuhan Cina ‘diam diri’

Politik tak stabil bimbang jadi korban pertarungan antara gajah

BANGI, 1 Zulhijjah 1441H, Rabu – Pengerusi Terhormat dan Tetap Hua Zong, Tan Sri Lim Huah Leong menyeru pemimpin pertubuhan Cina untuk ‘berdiam diri’ dalam beberapa isu – ekoran keadaan politik yang sensitif sekarang.

Beliau menggesa, pertubuhan Cina untuk tidak berbincang secara terbuka mengenai Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), termasuklah isu membabitkan agama, budaya, pendidikan dan kaum.

Dalam kenyataannya, beliau berkata, sebelum ahli politik dapat menyelesaikan persengketaan di antara mereka, pemimpin pertubuhan Cina di seluruh negara tidak perlu membesarkan isu pengiktirafan UEC.

Katanya, pemimpin pertubuhan Cina harus mempunyai ‘deria bau yang sensitif’.

“Janganlah menjadi semut yang terkorban dalam pertarungan antara gajah-gajah,” katanya seperti dilapor portal MalaysiaKini pada 20 Julai lalu.

Beliau menegaskan, situasi politik sekarang tidak stabil dan jika pemimpin-pemimpin pertubuhan Cina berterusan meminta pengiktirafan UEC, mereka akan terjerumus ke dalam perangkap.

Tegasnya lagi, ia sekali gus akan membuka ruang kepada ahli politik untuk mengambil kesempatan, mencipta dan menggunakan imej wira bangsa.

“Sudah berpuluh tahun lamanya UEC tidak mendapat pengiktirafan dan dalam berpuluh tahun dan beberapa generasi ini juga kita hidup dengan baik, kenapa perlu mendesak dalam situasi sekarang yang kacau-bilau, sehingga dipergunakan seperti catur oleh ahli politik,” katanya.

Pada masa sama, Huah Leong berkata, bukan sekadar isu UEC sahaja, para pemimpin pertubuhan Cina di seluruh negara tidak sepatutnya berbincang secara terbuka mengenai isu melibatkan agama, budaya, pendidikan dan kaum dalam waktu yang sensitif ini.

“Biar orang politik selesaikan perbalahan di antara mereka, kita baik diam sahaja,” katanya.

Di samping itu, Huah Leong berkata, masalah COVID-19 belum lagi tamat, justeru adalah lebih baik pertubuhan Cina menggunakan masa yang ada untuk menguruskan hal-hal berkenaan kebersihan mengikut norma baru dan kerja-kerja yang boleh meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Pada Khamis lepas iaitu 16 Julai wakil Hua Zong bertemu dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Keesokan harinya, Hua Zong telah menyatakan dalam kenyataan akhbar bahawa Muhyiddin secara peribadi mengharapkan kerajaan dapat mengiktiraf sijil UEC.

Dalam masa yang singkat, perkara ini menjadi buah mulut para pemimpin parti politik Melayu. 

Susulan itu, Pejabat Perdana Menteri (PMO) mengeluarkan kenyataan untuk menjelaskan bahawa dalam pertemuan dengan Hua Zong, PM tidak mengiktiraf sijil UEC.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button