Berita Utama

Pecat saya sekali lagi, sindir Annuar

Annuar berlapang dada terima pemecatan semalam

PUTRAJAYA, 22 Jamadilawal 1442H, Rabu – Tan Sri Annuar Musa meminta Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memecat dirinya sekali lagi.

Bekas Setiausaha Agong UMNO itu menyifatkan, keputusan pemecatannya pada Selasa adalah tidak sah.

“Walaupun Presiden UMNO itu adalah Pengerusi BN, sepatutnya ia perlu mengambil kira pandangan parti-parti komponen lain bukannya pada peringkat Majlis Tertinggi UMNO.

“Jadi saya cadangkan, pecat saya sekali lagi pada mesyuarat BN,” katanya sinis seperti dilapor Sinar Harian.

Pada masa sama, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, beliau masih belum mendapat surat rasmi pemecatan berkenaan sehingga kini.

“Saya tidak terima lagi, namun Setiausaha Agong BN yang baharu dilantik, Datuk Ahmad Maslan ada ‘text’ kepada saya. Dia jelaskan dia tak minta jawatan itu,” katanya.

Annuar berkata, sepatutnya Ahmad tidak perlu berbuat demikian.

“Tidak perlu pun jelaskan kepada saya. Saya orang lama, saya tahu…,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, beliau berlapang dada menerima pemecatan itu.

“Saya reda dengan pemecatan ini dan akan terus berjuang serta istiqamah atas wadah UMNO,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid mengumumkan Ahmad sebagai Setiausaha Agong BN yang baharu menggantikan Annuar berkuat kuasa serta-merta.

Keputusan itu diumumkan di dalam ucapan semasa perjumpaan khas dengan Ketua-Ketua UMNO Bahagian seluruh negara di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button