Berita UtamaDunia

45 maut serangan udara di Afghanistan

Kementerian Pertahanan siasat dakwaan korban orang awam

HERAT, 2 Zulhijjah 1441H, Khamis – Serangan udara di timur Afghanistan mengorbankan 45 orang, termasuk orang awam, kata pegawai tempatan.

Gabenor daerah Adraskan di wilayah timur Afghanistan, Herat, Ali Ahmad Faqir Yar berkata, sekurang-kurangnya lapan orang awam adalah mangsa korban dalam kejadian itu.

“Setakat ini seramai 45 terbunuh dalam serangan udara oleh pasukan keselamatan di kawasan Kham Ziarat. Anggota Taliban termasuk di antara mereka yang terbunuh,” katanya.

Tidak jelas berapa banyak dari 37 yang tinggal adalah orang awam dan anggota Taliban.

Sementara itu, jurucakap Taliban, Qari Mohammad Yousuf Ahmadi dalam satu kenyataan berkata, dua serangan udara di Herat mengorbankan lapan orang awam dan 12 cedera.

Kementerian Pertahanan Afghanistan memaklumkan sedang menyiasat dakwaan korban orang awam dalam serangan oleh tentera negara berkenaan di kawasan itu.

Katanya, hasil penyiasatan akan dikongsikan kepada orang awam dan media.

Jurucakap pasukan tentera Amerika Syarikat (AS) di Afghanistan berkata, mereka tidak mengambil bahagian dalam serangan udara pada hari Rabu.

Negara pembuli AS menandatangani perjanjian bersejarah dengan pihak Taliban Februari lalu yang menyaksikan pengunduran sepenuhnya tentera asing dari Afghanistan dalam tempoh 14 bulan mendatang.

Bagaimanapun, perselisihan mengenai pembebasan tahanan yang dituntut oleh Taliban dan meningkatnya keganasan di seluruh negara telah menghambat kemajuan dan perbincangan yang masih belum bermula. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button