Berita Utama

Dewan Rakyat tak terima notis cabar pelantikan Speaker

Tun Mahathir, 4 Ahli Parlimen fail tindakan undang-undang

KUALA LUMPUR, 2 Zulhijjah 1441H, Khamis – Dewan Rakyat tidak menerima sebarang notis daripada Ahli Parlimen Langkawi Tun Dr Mahathir Mohamad dan empat Ahli Parlimen lain yang memfailkan tindakan undang-undang bagi mencabar kesahihah pelantikan Datuk Azhar Azizan Harun dan Datuk Seri Azalina Othman Said, masing-masing sebagai Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Timbalan Yang Dipertua 1 Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon berkata, beliau menyerahkan kepada undang-undang untuk tindakan selanjutnya.

“Mengikut hemat saya, Tun (Dr Mahathir) bersama empat rakan yang lain boleh berbuat apa yang diinginkan dalam amalan demokrasi asalkan mengikut undang-undang yang termaktub,” katanya dalam satu kenyataan yang diedarkan kepada media di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

Hari ini, Dr Mahathir bersama empat Ahli Parlimen iaitu Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir (Jerlun), Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam), Datuk Wira Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu) dan Datuk Dr Shahruddin Md Salleh (Sri Gading) menfailkan saman pemula terhadap Azhar, Azalina, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon dan Setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin Bacha Mydin melalui Tetuan Law Practice of Rafique di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil di sini.

Kelima-lima Ahli Parlimen itu memohon deklarasi bahawa kerusi Yang Dipertua Dewan Rakyat sejak 13 Julai lepas masih kosong dan pelantikan Azhar dan Azalina itu adalah tidak sah kerana ia tidak berperlembagaan dan/atau bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan/atau Peraturan 3,4, 6 dan 47 Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan/atau kedaulatan undang-undang.

Pada 13 Julai, Azhar bekas Pengerusi Suruhanjaya Piliharaya (SPR) dipilih sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat ke-10, menggantikan Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof.

Azalina, yang juga Ahli Parlimen Pengerang, dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua bagi menggantikan Ahli Parlimen Teluk Intan Nga Kor Ming yang meletak jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengusulkan pencalonan Azhar mengikut Peraturan Mesyuarat 4(1), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button