Berita UtamaPendapat

Aman Palestin, kecemburuan

Laporan audit tertangguh adalah isu pengurusan, bukan salah laku

KETIKA Aman Palestin (AP) ditubuhkan pada 2004, saya ketika itu datang semula ke Mesir dan tinggal di sana selama hampir setahun bersama isteri dan tiga orang anak yang masih kecil.

Ketika itu saya ditugaskan untuk menghidupkan semula gerak kerja dakwah pelajar Malaysia di sana yang kemudiannya membawa kepada pendaftaran Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Mesir pada tahun 2008.

Ketika itu AP masih terlalu kecil dan amat lemah. Kemudian ia berjaya didaftarkan pada tahun 2006 sebagai sebuah entiti berhad dengan jaminan dan bermulalah perjalanan satu badan kecil ini untuk berkembang.

Saya ketika itu adalah pekerja sepenuh masa ISMA sebagai Penolong Setiausaha Agong dan amat rapat dengan gerak kerja AP.

2. ISMA dan AP sama-sama berkembang dari kecil, bertatih dan merangkak.

Dari hanya menumpang pejabat kawan-kawan yang sudi meminjamkan pejabat, berbekalkan komputer terpakai dan meja kerusi yang dikutip dari pejabat kawan-kawan hinggalah akhirnya ia berkembang sehingga ke tahapnya pada hari ini.

Jika ditanya bagaimana ia berlaku, jawapannya tidak ada siapa pun mampu berikan. Semuanya hanyalah percaturan Allah SWT yang membuka dan memudahkan tiap urusan.

3. Di awal penubuhan AP, suasana di Malaysia ketika itu, gerak kerja mana-mana badan di tanah air yang membantu isu Palestin amat ‘basic’. Hanya sebagai sebuah lujnah kecil dalam sebuah parti atau badan bukan kerajaan (NGO).

Tidak ada petugas sepenuh masa. Yang ada hanyalah sukarelawan yang datang dan pergi. Menjadi tempat ‘transit’ graduan universiti sebelum mendapat kerja atau lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebelum dipanggil ke Institut Pengajian Tinggi (IPT).

AP memulakan langkah berani untuk mengubah tradisi itu dengan impian untuk menjadi badan unggul dalam isu Palestin dan diurus secara ‘muassasi’ (berstruktur, berperlembagaan, ratusan staf sepenuh masa yang kompeten di bidang tugasan masing-masing, beraset, projek-projek dan pakej yang tersusun, rangkaian kerjasama serantau dan antarabangsa, kepercayaan masyarakat dan sebagainya). Kalimah ‘muassasi’ adalah wirid ketika itu dan gerak kerja berfokus ke arah itu.

4. Tetapi bukan mudah untuk sebuah badan itu berkembang. Selain daripada kekangan kemampuan dalaman, sabotaj dari pihak luar juga tidak kurang hebatnya.

Apa yang berlaku sehari dua ini hanyalah kesinambungan dari episod sebelum ini yang panjang. Dan ia membuktikan bahawa sunnah Allah SWT dalam usaha dakwah tidak pernah berubah … manusia perlu mengambil ikhtiar dan asbab musabbab mengurus segala ujian yang datang tanpa mengira sesiapa pun.

Niat yang baik tidak akan dikecualikan oleh Allah dari ujian, halangan, cabaran, tohmahan dan fitnah.

5. AP pernah berhadapan dengan krisis penarikan diri ahli lembaganya setelah termakan pujukan pihak luar. Ahli lembaga terpaksa disusun semula dengan pelantikan baru dan sebagainya. Pengerusi AP pernah difitnah makan duit AP sebanyak RM600,000 untuk mengubahsuai rumah.

Saya ke Qatar dan bertemu warga Malaysia di sana sekitar 2010. Mereka juga menanyakan soalan sama.

Tersebar luas rupanya fitnah itu sedangkan untuk memeriksa kesahihan berita tersebut tidaklah sesusah mana.

Pelajar sekolah menengah di Bangi yang mendengar fitnah tersebut menziarahi rumah Pengerusi AP dan menulis bahawa rumah teresnya murah dan semua orang boleh beli. Projek kaki palsu yang dijalankan dengan kerjasama kerajaan Malaysia pernah disabotaj.

Warga Palestin yang sepatutnya menerima kaki palsu dihasut oleh pihak luar sehingga dia protes terhadap AP kerana dia percaya dakwaan pihak luar tersebut bahawa kaki palsu yang diusahakan oleh AP bukan yang terbaik.

Akhirnya projek itu berhenti kerana hasutan tersebut dan warga tersebut pulang ke Palestin tanpa kaki palsu jika tidak salah ingatan saya. Satu konsert amal melibatkan penyanyi nasyid luar negara hampir dibatalkan kerana penyanyi nasyid luar negara itu diarahkan oleh pihak tertentu untuk membatalkan penglibatannya di dalam konsert itu.

Kalaulah bukan kerana AP telah mengambil langkah awal membayar deposit dan membuat perjanjian bertulis, nescaya sia-sialah segala jualan tiket untuk konsert tersebut. Dan ada banyak lagi kisah yang lain yang tersimpan di dalam lipatan sejarah.

6. Tetapi satu perkara yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapa pun, akhirnya AP berjaya berdiri sebagai sebuah organisasi yang kukuh.

a. Mempunyai rangkaian kerjasama yang kuat di dalam dan luar negara dengan badan-badan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan.

Sesiapa yang biasa dengan gerak kerja perhubungan luar sudah tentu tahu, bukan mudah untuk membina jaringan kerjasama dengan pelbagai badan antarabangsa tersebut.

Memulakan perhubungan satu perkara, mendapat kepercayaan satu perkara lain. Seterusnya mengurus perbezaan pendapat hingga boleh mencapai kerjasama satu lagi tahap pengurusan yang bukan mudah.

b. Mempunyai aset (bangunan, kenderaan dan sebagainya). Jarang-jarang pertubuhan bukan kerajaan berfikir untuk memiliki aset. Mentaliti kebanyakannya adalah kerja runcit-runcit, pengurusan seperti mengurus projek gotong royong surau sahaja. Ianya adalah aset penting kerana menjimatkan kos pengurusan untuk jangka panjang serta boleh memberi pulangan kewangan yang boleh digunakan untuk banyak projek lain.

c. Mempunyai lebih 100 orang petugas sepenuh masa bahkan ribuan sukarelawan di seluruh Malaysia. Kebanyakan mereka adalah graduan lepasan universiti yang mempunyai peluang untuk bekerja di organisasi yang lebih stabil. Di samping barisan duta-duta dan perunding dari kalangan tokoh masyarakat, seniman, artis dan sebagainya.

d. Mempunyai lebih dari 20 cawangan di seluruh Malaysia. Setiap cawangan ada pengurus dan petugas sepenuh masa yang diamanahkan untuk menjalankan kempen kesedaran isu Palestin di dalam masyarakat setempat dan menjalankan kerjasama dengan badan-badan tempatan.

Di samping menjadi agen bagi menerima sumbangan masyarakat setempat untuk dikumpulkan di dalam akaun pusat. Beberapa kali setahun pengurus-pengurus ini akan berkumpul berhari-hari untuk menyelaraskan gerakerja satu Malaysia.

e. Menubuhkan cawangan AP di Gaza dan menggajikan warga Palestin untuk menguruskan projek-projek di Palestin. Ini adalah langkah yang unik dan tidak difikirkan oleh badan-badan lain. Sekarang terdapat hampir 10 orang petugas sepenuh masa di sana dari kalangan warga Palestin. Di samping pembukaan akaun bank di Palestin yang memudahkan lagi transaksi dan urusan audit kewangan.

f. Menubuhkan AP di Indonesia bermula di Bandung dan seterusnya berkembang hingga ke Kalimantan.

Ketika hasrat untuk membuka cawangan di Kalimantan, saya turut serta ke sana bersama rombongan AP, bertemu dan berbincang dengan kenalan di sana mencari peluang untuk membuka cawangan.

Akhirnya AP Indonesia berkembang dan boleh berdiri sendiri. Indonesia adalah rakan strategik paling rapat kepada Malaysia. Apa-apa juga isu umat Islam jika disokong oleh umat Islam Indonesia, kita boleh beranggapan bahawa isu itu hampir selesai. Beres orang kata.

g. Sudah mempunyai ‘jasa’ kepada Palestin. ‘Jasa’ ini adalah bukti kewujudan dan kemampuan. ‘Jasa’ ini tersergam dalam bentuk masjid-masjid yang dibina, sekolah yang didirikan, kilang roti, pelbagai perusahaan yang sedang dibangunkan untuk warga tempatan, hospital, ambulans dan sebagainya.

Di samping bantuan kewangan penajaan ribuan anak yatim dan keluarga syuhada’ secara bulanan sehingga mereka mampu berdikari, pembinaan semula rumah-rumah yang roboh, penajaan rawatan ramai mangsa perang dan lain-lain bantuan yang jumlahnya sudah mencapai ratusan juta ringgit.

7. Walau bagaimana pun, saya tidak menafikan aspek kelemahan yang masih perlu dibaiki oleh pengurusan AP. Isu laporan audit ini salah satu daripadanya. Isu laporan audit tertangguh adalah isu pengurusan dan bukan isu salah laku.

AP sedang berusaha memperbaikinya dengan sungguh-sungguh dan moga ianya selesai dalam masa terdekat. Tetapi kita ambillah kaedah yang diberikan oleh Rasulullah saw di dalam isu ini iaitu:

أَقِيلُوا ذَوي الهَيئَات عَثَراتِهم إلاَّ الحدود

“Maafkanlah orang soleh yang jarang melakukan maksiat kesalahan mereka, kecuali kesalahan hudud,”
(Hadis riwayat Abu Daud dan Nasaie)

8. Secara jujurnya jika ditanya kepada saya, apa perasaan saya terhadap AP, saya cemburu melihat kesungguhan mereka, nilai pengorbanan mereka dan mengira segala jasa yang telah mereka berikan kepada umat Islam.

Kecemburuan ini mencabar saya untuk membangunkan organisasi yang saya pimpin untuk sebaris dengan AP.

Orang lain mungkin cemburu juga, tetapi mungkin mengambil sikap sabotaj. Tidak mengapalah, manusia diberi pilihan oleh Allah untuk melakukan apa yang mereka suka di dunia. Pengurusan AP pun nampaknya tidak mahu melayan dan menghabiskan terlalu banyk tenaga dalam menguruskan sabotaj itu. Betullah, manusia buat kerja manusia, Allah akan sempurnakan kerjanya menghitung dan membalas segala amal buruk manusia.

Syabas kepada lembaga dan pengurusan AP. Moga terus thabat dan istiqamah.

Allahul Musta’an

Ustaz Haji Muhammad Fauzi Asmuni
Presiden ISMA

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button